MEMBURU MALAM LAILATUL QADAR DI 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN

 


Tidak terasa kita kini sudah sampai ke dalam 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Rasa sayu, sedih dan hiba pasti sudah menyelubungi diri, bertanya – tanya adakah kita akan bertemu pada Ramadan berikutnya? Malam al-Qadr ini merupakan malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu besar keistimewaannya untuk umat Nabi SAW sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus, iaitu surah al-Qadr. 

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (QS Al – Qadr: 1 – 5).

Antara keistimewaan malam lailatu qadar adalah:

Malam lebih baik daripada 1000 bulan
Malaikat Jibril turun bersama para malaikat membawa rahmat dengan perintah Allah SWT.
Orang yang menghidupkan malam ini akan diampuni dosanya oleh Allah SWT.
Mendapatkan keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga terbitnya fajar.

Sementara itu, antara amalan sunat yang boleh dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan:

1. Banyakkan membaca al-Quran.
2. Banyakkan Berzikir, Beristighfar dan Berdoa.
3. Beri’tikaf di Masjid.
4. Laksanakan Solat Tarawih dan Qiyamullail setiap malam.
5. Banyakkan bersedekah.

Dari Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW biasa ketika memasuki 10 Ramadan terakhir, beliau mengetatkan kainnya, menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah.” Muttafaqun ‘alaih.” (HR Muslim).

Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan amalan kita di 10 malam terakhir Ramadan ini. Tidak semua mampu melakukan amalan ini melainkan hanya kepada umat Islam yang bertakwa sahaja. Tidakkah kita mahu melipatgandakan pahala kita sebanyak mungkin. Berlumbalah dalam memburu malam lailatul qadar di 10 malam terakhir Ramadan agar kita mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments