TOLERANSI DALAM AGAMA SEHARUSNYA DIUTAMAKAN DEMI KEMASLAHATAN RAKYAT DAN NEGARA

 


Malaysia merupakan sebuah negara unik yang memiliki kepelbagaian kepercayaan, agama, adat, budaya, bangsa, ras dan etnik. Kepelbagaian ini seharusnya dirai dan dipelihara agar perpaduan dan keharmonian dapat dikekalkan. Begitu juga dalam hal beragama, seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 (1) yang jelas menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. 

Namun pada masa sama, agama-agama lain bebas dan boleh diamalkan tanpa gangguan seperti yang dijelaskan dalam Perkara 11 (1) iaitu ‘tiap-tiap orang adalah berhak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya serta tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya’.

Islam merupakan ajaran yang mengamalkan toleransi yang sangat tinggi walaupun terhadap penganut agama lain. Namun begitu, Islam tetap memiliki batas sempadan yang mesti dijaga dan dipelihara agar umatnya tidak tergelincir ke lembah dosa lebih-lebih lagi berkaitan akidah. Atas insiden yang terjadi baru – baru ini, artikel ingin menyeru semua pihak untuk sentiasa menjaga sensitiviti setiap agama yang ada di negara ini. Allah SWT juga telah menurunkan perintah untuk tidak mencerca agama lain sebagaimana firmaNya:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (QS Al – An’am: 108). 

Maka dari itu, bertoleransilah sesama kita.  Toleransi beragama yang perlu difahami ialah seseorang bersikap terbuka untuk mendengar pandangan yang berbeza, berkomunikasi secara dua hala, iaitu mengemukakan dan menerima pandangan. Pada masa sama tidak merendahkan atau mempertikaikan pegangan agama orang lain dalam ruang lingkup yang telah disepakati bersama.

Jangan sesekali membahan, mengejek atau memainkan sensitiviti setiap agama kerana itu bukanlah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Sesungguhnya toleransi beragama merupakan elemen penting dalam membentuk peradaban negara Malaysia. Sikap toleransi ini mampu menjadi kaedah pengurusan konflik sebuah masyarakat yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama. 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments