Penglibatan anggota masyarakat dalam ajaran sesat adalah didorong oleh sikap sebahagian mereka yang tidak mempunyai asuhan dan pendidikan agama yang asas. Setelah insaf dan merasakan diri mereka perlu mendekatkan diri dengan Tuhan, mahu mencari jalan pintas ke syurga, lalu mereka bertemu dengan guru-guru tertentu tanpa mengetahui dan jauh sekali memahami amalan serta ajaran yang dibawa oleh para guru tersebut menyeleweng.
Umpanya sebuah ajaran sesat di Indonesia, menawarkan tiket ke syurga buat pengikutnya yang mahu ‘menghantar’ kedua-dua ibu bapa mereka bermula daripada 7 juta rupiah (RM 1,842) hingga 15 juta rupiah (RM3,949). Ajaran ini yang berasal di Dusun Limboro, Kecamatan Huamual Kabupaten Seram Bahagian Barat, Maluku, mendoktrinkan kepada pengikutnya supaya tidak perlu menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan membayar zakat sebagaimana Rukun Islam.
Selain itu, ajaran sesat ini turut mempunyai kitab tersendiri yang digelar sebagai ‘perisai diri’ yang mengubah Surah al-Fatihah dan beberapa surah lain di dalam al-Quran serta mengubah suai kalimah syahadah.
Oleh sebab itu, umat Islam seharusnya menjadikan warisan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai tonggak pegangan Islam bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW. Justeru itu, hindari sikap taksub kepada seseorang kerana ianya menjadi indikator yang membantu perkembangan ajaran sesat. Selain itu, tuntutlah ilmu agama daripada guru-guru dan institusi agama yang bertauliah. Elakkan daripada terjerumus dengan ajaran-ajaran sama ada kumpulan tarekat atau ajaran kebatinan yang meragukan. Moga dengan langkah-langkah pembendungan tersebut dapat menyelamatkan diri, keluarga dan sahabat-sahabat kita dari ajaran yang menyimpang dari kebenaran Islam.
Sumber: Majelis Ulama Indonesia (MUI)
Comments
Post a Comment