Bagi seorang Muslim, kewujudan Tuhan tidak menjadi isu kerana keimanan kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam merupakan rukun pertama dalam Rukun Iman. Walaupun manusia tidak dapat melihat Tuhan dengan pancaindera, namun Muslim meyakini kewujudan Tuhan melalui ayat-ayat al-Quran yang diturunkanNya, juga melalui pengamatan kepada kejadian alam dan manusia. Hal ini bermakna, wahyu dan akal fikiran kurniaan Tuhan digunakan secara seiringan dalam menghayati keagungan dan kekuasaanNya, seterusnya mendekatkan diri kepada Pencipta.
Namun, masih ramai manusia di dunia ini yang tidak mengakui atau meragui kewujudan Tuhan, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak beragama. Bagi golongan ateis, hujah mereka mudah, antaranya, “Aku tidak nampak Tuhan, jadi bagi aku Tuhan itu tiada”, “ Jika Tuhan mencipta sesuatu, siapa yang mencipta Tuhan?”. Malah mungkin juga seseorang itu beragama, namun masih tidak menemui jawapan yang memuaskan melalui agamanya mengenai persoalan asas manusia dan Tuhan.
Melalui sirah, kebanyakan nabi dan rasul terdahulu telah berhadapan dengan manusia yang menolak kewujudan Tuhan, malah mengaku Tuhan. Misalnya, Nabi Ibrahim yang berhadapan dengan Raja Namrud yang mengaku Tuhan, Nabi Musa berhadapan dengan Firaun yang turut mengaku Tuhan dan sebagainya.
Kisah-kisah tersebut semuanya Allah SWT telah rakamkan dalam surah-surah al-Quran. Seharusnya ia mejadi iktibar dan panduan pada umat manusia, selain meningkatkan kepercayaan dan keimanan kepada Allah SWT kerana buktinya kukuh dan jelas. Namun, masih ada manusia yang tegar tetap menafikan kerana kejahilan yang terlampau sehingga tidak mahu mengakui kebenaran kewujudan Allah SWT dan agama Islam. Maka, siapakah yang bersalah jika bukan diri sendiri yang tidak mahu menerima kebenaran. Renung-renungkan.
Sumber: hidayahcentre.org.my
Comments
Post a Comment