Isu murtad adalah amat sensitif dalam kalangan mana-mana penganut agama dan tidak terhad kepada agama Islam semata-mata. Apa yang membezakan hanyalah Islam adalah satu sistem hidup yang merangkumi undang-undang yang sempurna mengawal kehidupan umatnya termasuklah menyediakan hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan.
Jika sekiranya terdapat umat Islam yang murtad dan tindakan itu telah menjadi bahaya kepada masyarakat Islam sama ada dengan pengisytiharan mereka secara terang-terangan, atau mereka telah berperang dengan orang Islam, atau bertbertindak mengajak orang-orang Islam lain murtad, maka orang-orang Islam diperintah mengambil tindakan terhadap mereka.
Oleh sebab itu hukuman murtad bagi orang Islam adalah berat dan hukum perbuatan tersebut adalah haram kerana implikasinya turut memberi impak yang besar. Antaranya ialah:
i. Hubungan Perkahwinan
- ikatan perkahwinan akan terputus. Jika pasangan bertaubat dan kembali kepada Islam, maka akad nikah dan mas kahwin perlu diperbaharui;
ii. Hak terhadap Harta
- harta orang murtad akanmenjadi hak milik baitul mal dan tidak boleh diwarisi oleh waris Islam atau bukan Islam;
iii. Hak Perwalian
- orang murtad tidak mempunyai hak kewalian terhadap orang lain;
iv. Hak Waris
- orang yang murtad tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat Muslimnya;
v. Hutang orang murtad
- segala hutang yang ditanggungnya semasa dia masih Islam dibayar dengan harta sepencariannya semasa dia Islam;
vi. Hak Persaksian
- orang yang murtad tidak diterima sebagai saksi
Justeru itu, pentingnya umat Islam mempunyai asas agama yang kukuh. Jika umat Islam sendiri gagal untuk memahami, enggan mempelajari dan hanya mengambil sikap sambil lewa dan tidak mengendah kepentingan mempelajari dan memahami konsep Islam yang sebenar, maka tidak hairanlah terdapat pihak bukan Islam yang cuba memberi definisi Islam menurut teori dan kefahaman mereka sendiri. Akhirnya, ia boleh menimbulkan kesan yang negatif terhadap agama Islam dan umat Islam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment