Allah SWT menjadikan kehidupan dunia penuh dengan keseronokan, permainan dan kelalaian. Semua itu adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan hambaNya yang paling baik amalan dan paling bersyukur kepadaNya. Gelombang Revolusi Industri 4.0 menyajikan hiburan yang sangat banyak. Agenda hiburan hari ini bukan lagi bersifat fizikal seperti dulu.
Lambakan hiburan boleh dicapai hanya melalui hujung jari sahaja yang menyebabkan berlakunya perubahan gaya hidup seharian generasi kini. Akibatnya terdapat beberapa cabaran penggunaan media sosial dalam menikmati hiburan sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang melampaui batas dan norma kehidupan biasa.
Islam tidak larang umatnya untuk berhibur, namun hiburan tersebut mestilah berlandaskan hukum syarak yang ditetapkan. Hal ini termasuklah dengan pemilihan lagu untuk video – video di aplikasi TikTok untuk dimuatnaik. Ramai di kalangan kita memilih lagu secara semberono tanpa mengetahui maksud di sebalik lagu tersebut. Asalkan sedap di dengar dan dirasakan sesuai dengan situasi video, maka letakkan sahaja.
Konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan untuk membangunkan dan memdamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani. Akan tetapi, melihat kepada realiti hiburan kita pada hari ini, dapat dirumuskan bahawa sebahagaian besar hiburan kita gagal mencapai matlamatnya. Bukan sahaja gagal, malah ia telah mencetuskan masalah dan kecelaruan di dalam kehidupan. Apabila orang lain terpengaruh, maka kita juga mendapat dosanya.
Melihat kepada realiti ini, umat Islam perlu memahami ciri-ciri hiburan mengikut syariat Islam:
1) Lagu dan senikata lagu atau hiburan tersebut mestilah tidak melalaikan, tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, tiada unsur maksiat seperti memuja kecantikan wanita, menggalakkan unsur haram seperti minuman beralkohol, judi, riba, menganjurkan hubungan bebas muda-mudi dan perlanggaran syariat.
2) Tidak melalaikan dan berlebih-lebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah SWT dan kewajipan yang lain terabai.
3) Tiada percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi dalam berhibur.
Pilihlah hiburan yang boleh meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan tubuh badan seperti bersukan, bergurau senda yang sederhana, mendengar lagu-lagu yang menaikkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara, melihat filem dan drama yang memberi pengajaran dan tauladan atau menyanyi lagu-lagu yang meningkatkan iman kepada Allah SWT. Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian sewajarnya nilai diri sentiasa dipelihara, lebih peka dan waspada dalam setiap tindakan khususnya ketika berhibur. Berhibur jangan sampai lebur. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:
“Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu” (HR Bukhari).
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment