BERSEDEKAH SAMBIL MERAIKAN TETAMU- PENGANJURAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI BUKANLAH MEDAN KERIAKAN

 


Masih lagi kita di dalam bulan Syawal. Sudah pasti setiap minggu ada sahaja jemputan rumah terbuka yang diterima atau kita sendiri yang melakukan rumah terbuka. Apa yang pasti, dalam kita menganjurkan rumah terbuka, kita harus berniat untuk bersedekah. Firman Allah SWT:

"Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka adalah seperti sebuah kebun di tempat tinggi yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan." (QS Al – Baqarah: 265).

Namun, dalam kita bersedekah, jangan sekali – kali kita berasa ujub dan riak. Bersedekah bukan semata – mata untuk menunjuk siapa yang lebih banyak melakukan kebaikan. Mengadakan rumah terbuka bukan medan untuk kita berlagak dengan jiran sekeliling tentang siapa yang paling gah mengadakan jamuan. Sebolehnya kita harus memperbetulkan niat kita.

Agama Islam menuntut umatnya agar memiliki sifat-sifat yang terpuji dan melarang umatnya dari bersifat keji. Tuntutan yang murni ini adalah bagi memastikan kita umat Islam mencapai kebahagiaan dan kejayaan hidup di duni dan juga di akhirat. Dalam agama Islam, salah satu sifat keji yang amat dibenci dan tercela ialah sifat riak. Sesungguhnya sifat riak itu adalah antara penyakit rohani yang sangat berbahaya. Orang-orang yang riak, hidup dan jiwanya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata. Allah SWT berfirman:

“Maka celakalah orang-orang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang lalai terhadap sembahyang mereka. (Juga) mereka yang berkeadaan riak.” (QS Al-Ma’un: 4-6).

Sedekah adalah simbolik kesyukuran seseorang hamba terhadap rezeki yang dikurniakan kepada Allah kepada umatNya melalui pembahagian rezeki yang ada kepada orang yang memerlukan. Umat Islam yang menghayati erti sedekah meyakini ibadah ini sebagai benteng kepada sikap bakhil, mementingkan diri sendiri dan segala sifat mazmumah yang lain. Akan tetapi, bersedekahlah dengan niat yang ikhlas dan bukannya untuk riak.

Sumber: Jabatan Agama Islam Negeri Johor


Comments