HIDUP SEBAGAI SEORANG YANG BERMANFAAT KEPADA AGAMA DAN MASYARAKAT MATI SEBAGAI SEORANG SYAHID AKHIRAT


Berita tentang seorang penuntut universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Mohamad Karim yang maut dilanggar bas dua minggu lalu meruntun hati rakyat Malaysia. Allahyarhamah pada ketika itu sedang menunggu giliran untuk menaiki bas ke kampus sebelum sebuah lagi bas datang dari arah belakang dan merempuh bas yang bakal dinaiki mangsa. 

Impak dari pelanggaran tersebut menyebabkan bas hadapan menggelongsor ke depan dan melanggar besi penghadang jalan, sebelum menghimpit mangsa yang sedang menunggu giliran untuk menaiki bas berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Tiada siapa yang mahukan perkara ini terjadi, apatah lagi Allahyarhamah merupakan anak sulung dan menjadi tonggak kepada keluarganya. Namun, tiada siapa yang mampu menolak takdir Allah SWT, Allahyarhamah dijemput Ilahi dalam usia yang sangat muda. Jika diikutkan keadaan ini, boleh kita kaitkan kematian Allahyarhamah ini sebagai syahid akhirat, syahid di mana beliau sedang berjuang untuk masa depan yang lebih cerah, iaitu menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda:

“Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid, iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” (HR Muslim).

Menurut Syeikh Abd Rahman al-‘Asimi:

“Di antara golongan yang mendapat syahid akhirat ialah orang yang mati ketika sedang menuntut ilmu sama ada melalui penulisan, pengajaran atau menghadiri majlis ilmu. Dan Imam Al-Ahjuri mengatakan bilangannya sehingga 30 golongan, dan di antaranya juga orang yang keluar mencari nafkah untuk orang yang di bawah tanggungannya.” (Hasyiyah al-Raudh al-Murabba’, 3/55).

Daripada kisah Allahyarhamah, kita dapat simpulkan bahawa jadilah seseorang yang baik dan berakhlak serta menyayangi ibu bapa, hidup sebagai seorang yang memberi manfaat kepada agama dan masyarakat. Tetapi saat menjelang kematian, kita mati sebagai seorang yang diangkat sebagai syahid akhirat. Semoga dengan kisah ini dapat memberikan iktibar buat semua umat Islam untuk sentiasa menjadi Muslim yang baik dan bermanfaat, In shaa Allah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments