INSIDEN KEBAKARAN GAS DI PUTRA HEIGHTS BUKTI PERPADUAN SESAMA INSAN MASIH DIJAGA RAPI




Insiden kebakaran gas di Putra Heights pada 1 April lalu telah membuka mata ramai pihak bagaimana perpaduan sesama insan masih lagi utuh dan tidak terlerai sebagaimana yang didedahkan oleh tabloid – tabloid murahan. Di sini kitab oleh melihat setiap daripada kita, rakyat Malaysia saling bersatu padu dalam memberikan bantuan tanpa mengira fahaman, ideologi, bangsa dan agama.

Inilah yang disebut sebagai perpaduan nasional. Perpaduan nasional mengacu pada semangat kesatuan, kebersamaan, dan harmoni antara berbagai kelompok dan individu dalam sesebuah negara. Ia memerlukan usaha islah yang jitu dan berterusan. Agama perlu menjadi asas bagi usaha islah, berperanan menghilangkan prasangka dan ketegangan yang mungkin timbul akibat perbezaan ideologi dan aliran serta memandu nilai-nilai universal seperti kasih, saling menghormati, dan keadilan.

Firman Allah SWT:

“Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (QS Ali ‘Imran: 103).

Hal ini juga turut dititah oleh Seri Paduka Baginda Yang Di – Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Dalam titah Baginda menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara perpaduan dan keharmonian negara seperti menatang minyak yang penuh. Baginda juga bertitah dalam memupuk kebersamaan dan perpaduan yang tulus ikhlas secara berhemah dan produktif, usaha yang kukuh juga mesti dilaksanakan untuk membanteras tanpa kompromi sebarang anasir yang membawa ancaman perpecahan. Baginda turut mengingatkan bahawa usaha menjaga perpaduan bukan sesuatu yang mempunyai tarikh tamat, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan melalui pendidikan, pemupukan dan penyemaian dalam jiwa rakyat. 

Dalam membangun perpaduan nasional, umat Islam dan seluruh masyarakat perlu memahami pentingnya bersama-sama dalam menghadapi cabaran dan mempromosikan kebaikan. Mengutamakan kesatuan dan menghindari perpecahan adalah langkah penting dalam menciptakan lingkungan yang harmoni, toleransi, dan saling menghormati di tengah keragaman yang ada dalam masyarakat. Sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.” (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, janganlah kita terpengaruh dengan berita yang dibawa oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab. Semua pihak harus mengambil iktibar terhadap insiden ini dan jadikan ia sebagai satu tauladan bahawa perpaduan ini mesti dijaga demi kemaslahatan rakyat. Perpaduan tidak seharusnya sekadar di permukaan sahaja, tetapi mesti lebih mendalam, terutamanya apabila timbul keperluan untuk menangani situasi di mana sesetengah perasaan mungkin terguris akibat kejahilan, sama ada yang disengajakan mahupun tidak. Kekalkan perpaduan, negara selamat dan harmoni.

Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri


 



Comments