Kemerdekaan Malaysia dicapai melalui permuafakatan politik pelbagai kaum. Perjuangan, pengorbanan dan sumbangan tokoh-tokoh terdahulu berhasil membentuk sebuah negara merdeka pada 31 OGOS 1957. Dengan bermatlamatkan perpaduan dan keharmonian, hubungan antara kaum dapat dipupuk dan sentiasa terpelihara demi negara Malaysia merdeka.
Kegagalan memahami sejarah silam menyebabkan sesebuah negara bangsa itu akan kembali terjerumus dalam kancah perbalahan dan persengketaan kaum yang bukan menguntungkan, malah akan merugikan negara. Atas sebab kegagalan itulah boleh timbulnya pelbagai isu sensitif melibatkan perkauman sebagaimana isu Jalur Gemilang.
Sebuah akhbar Cina yang mustahil secara tidak sengaja memaparkan Jalur Gemilang tanpa anak bulan di dalam satu kandungan beritanya. Perkara ini telah mendatangkan amarah masyarakat kerana dianggap menghina Jalur Gemilang. Selain itu, ada lagi isu Jalur Gemilang yang salah dipaparkan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga dikhuatiri sengaja mencetuskan kontroversi.
Setiap elemen dalam Jalur Gemilang itu mempunyai signifikannya tersendiri termasuklah anak bulan, bintang pecah 14, 14 jalur, warna merah, warna biru, warna kuning dan warna putih. Oleh sebab itu, mana-mana pihak yang dianggap sebagai menghina, memperlekehkan atau tidak menghormati Jalur Gemilang dengan sewajarnya, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 Akta Lambang Dan Nama 1963 atau Akta Lambang Kebangsaan 1949.
Justeru itu, warganegara Malaysia diingatkan agar mempelajari, memahami dan mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah yang pernah dilalui oleh Malaysia. Dengan bermatlamatkan perpaduan dan keharmonian, hubungan antara kaum dapat dipupuk dan sentiasa terpelihara. Perkara ini menjadi amanah bagi seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan toleransi antara kaum diamalkan secara maksimum. Demi Malaysia, seluruh rakyat pelbagai kaum mesti meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan individu atau kaum-kaum tertentu.
Sumber: Jurnal Perspektif, Jil.13(1) – Universiti Pendidikan Sultan Idris
Comments
Post a Comment