KEBERSIHAN SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN: PAKSA DAN LATIH DIRI UNTUK MENJAGA KEBERSIHAN DIRI DAN KAWASAN SEKELILING
Liat sungguh membina akhlak masyarakat yang cintakan kebersihan. Mana sahaja kita pergi, pasti akan terjumpa sesetangah kawasan yang menjadi tapak pembuangan sampah haram. Di pinggir jalan, di selekoh jalan, malah di hadapan rumah orang juga boleh menjadi tapak pembuangan sampah. Tidak malukah kita sebagai negara Islam tetapi tidak menunjukkan contoh kebersihan? Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman? Sabda Rasulullah SAW:
“Kebersihan itu adalah separuh daripada iman.” (HR Muslim).
Kita sudah lali membaca paparan media berkenaan senario masyarakat masa kini yang bersikap mengabaikan kebersihan dan keindahan. Sebenarnya pihak berwajib telah dan sedang melaksanakan pelbagai pendekatan ke arah mengubah sikap orang ramai agar sentiasa cakna terhadap kebersihan dan keindahan alam sekitar. Akibat menganggapkan kebersihan dan keindahan alam sekitar sesuatu hal yang remeh maka timbullah gejala penyakit dan musibah seperti demam denggi yang banyak meragut nyawa. Demikian juga dengan penularan penyakit kencing tikus yang membikin masyarakat awam menjadi gempar dan berada di dalam fobia.
Ini jelas menunjukkan masyarakat awam di negara kita masih di takuk lama yang begitu liat untuk berubah. Mereka bukannya tidak jijik dengan persekitaran yang kotor, tetapi sikap untuk memelihara dan menjadikan amalan menjaganya secara sukarela belum lagi berputik di hati masyarakat kita. Sebagai negara Islam contoh kita tidak seharusnya menunggu program seperti kempen menjaga kebersihan ataupun semasa Tahun Melawat Malaysia sahaja untuk kita pamerkan sikap cintai kebersihan. Ini kerana menjaga kebersihan adalah sikap yang sudah pun dianjurkan oleh Islam dan menjadi salah satu tunjang kepada prinsip keimanan. Islam anjurkan kita sebagai umatnya agar sentiasa memelihara diri, keluarga dan persekitaran kita dengan unsur yang bersih.
Ingatlah, Islam menerusi junjungan mulia Rasulullah SAW mengajar kita cara terbaik untuk menjalani kehidupan yang sihat, iaitu berdasarkan platform pencegahan sebelum datangnya sesuatu penyakit. Baginda SAW pernah berpesan menerusi hadis yang bermaksud:
"Bersihkanlah halaman rumah kamu. Jangan samakan diri kamu dengan orang Yahudi" (HR Abu Daud).
Dalam satu pesanan lain, Rasulullah SAW pernah juga berpesan yang kata baginda:
"Bersihkan jasmani kamu, nescaya Allah akan menyucikan jiwa kamu" (HR Muslim).
Sudah terang lagi nyata bahawa Baginda SAW begitu mengambil berat aspek memelihara kebersihan kerana ia ada hubungkaitnya dengan soal keimanan. Iman dan kebersihan seolah-olah 'saudara kembar' yang tidak mungkin terpisah sama sekali.
Oleh itu, marilah kita sentiasa serlahkan nilai hidup Islami yang sebenar yang antaranya ialah mempamerkan budayakan cintakan alam kehidupan yang bersih dan indah. Apabila kita menjadi pembersih, maka hidup kita akan jadi lebih sihat. Harga atau nilai kesihatan, tidak diketahui kecuali oleh orang yang sakit, harga atau nilai keselamatan tidak diketahui kecuali oleh orang yang ditimpa bala.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment