KERUNTUHAN MORAL DAN AKHLAK PENYEBAB MURTAD


Keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat terutama Melayu-Islam sangat membimbangkan. Antara keruntuhan moral yang ketara ialah murtad. Isu ini dilihat sangat sensitif dan terpencil tetapi ia membawa impak besar dalam masyarakat beragama Islam dan negara.

Perlu difahami bahawa murtad bukan sekadar bertukar agama, sebaliknya ia juga boleh berlaku melalui percakapan atau pertuturan apabila individu Muslim berkata sesuatu yang menghina agama, mencerca nabi dan mengaku adanya Tuhan lain. Seseorang individu itu juga boleh dianggap murtad melalui perbuatan, contohnya sujud kepada berhala dan memijak al-Quran.

Kata-kata murtad bukanlah kalimah yang boleh dijadikan mainan dan menjadi bahan jenaka. Kesannya boleh merosakkan iman apabila jelas dinyatakan tanpa paksaan dan mengandungi maksud kufur. Begitu juga dengan bergurau, kecewa atau mengajuk dengan melafazkan, ‘aku keluar Islam’ adalah ucapan yang memutuskan kepercayaan terhadap agama dan ia sangat ditegah. 

Justeru itu, jaga ucapan dan perbuatan supaya tidak terlebih-lebih sehingga boleh memurtadkan tanpa sedar. Impaknya bukan sahaja pada diri si penutur, malah memberi kesan besar kepada kepentingan umat Islam, agama dan negara.

Sumber:Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (ILMAN)


 

Comments