Sekiranya diteliti hadis akhir zaman, didapati bahawa antara punca kelemahan umat Islam bukan sahaja datang daripada pihak yang memusuhi Islam, tetapi juga banyak datangnya daripada umat Islam sendiri. Rancangan musuh hanya menjadi lebih mudah dengan kelemahan yang timbul pada umat Islam, bukan kerana kemantapan dan kehebatan konspirasi mereka.
Jika diperhatikan isu semasa, umat Islam sendiri yang cuba untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan umat Islam sendiri terhadap perkara-perkara akidah. Golongan ini yang dikenali dengan golongan Islam liberal cuba mentafsir semula kandungan al-Quran dan hadis yang dikatakan jumud dan terlalu ketat. Mereka kononnya cuba menjadi ‘entiti’ yang menyelamatkan umat Islam, sedangkan mereka sebenarnya telah terpesong jauh dari ajaran Islam sebenar kerana yang ingin diubahnya adalah syariat.
Fitnah yang menggunakan nama agama sebagaimana Islam liberal ini boleh menyebabkan keruntuhan akidah, maksiat berleluasa dan orang mudah menggadaikan agama demi sedikit habuan dunia.
Justeru itu, sebagai umat Islam, wajiblah berpegang teguh dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Tidak perlu cakna dengan perkara-perkara yang mengelirukan, kelak khuatir mengganggu keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Sumber: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Comments
Post a Comment