Menjadi seorang Muslim, kita mestilah bertanggungjawab ke atas diri kita dalam melaksanakan ibadah. Jika bulan Ramadan kita bersungguh - sungguh melakukan ibadah, mengapa tidak di bulan - bulan yang lain? Kehadiran Syawal selepas Ramadan bukanlah sebagai pemutus kepada semua kebaikan, namun ia sebagai satu titik mula kepada nilai ketakwaan yang diperolehi semasa Ramadan.
Kini, bulan Syawal pula semakin ke penghujungnya, adalah lebih baik sekiranya kita terus istiqomah dalam melakukan ibadah. Bukan mudah untuk bermujahadah, namun kita harus kuat untuk mengekalkan momentum tersebut. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu." (QS Al - Fussilat: 30).
Begitu hebat sekali janji Allah SWT sekiranya kita kekal untuk beristiqomah dalam mengekalkan ibadah kepaNya. Antara amalan yang boleh dilakukan dalam mengekalkan istiqomah tersebut:
1) Memperbanyakkan sedekah.
2) Memperbanyakkan puasa sunat.
3) Melazimi al - Quran. Al-Quran bukan ada di bulan Ramadan sahaja, bahkan perlu dibaca setiap hari sebagai pedoman kita orang Islam.
4) Mengekalkan momentum solat berjemaah di masjid dan surau. Sabda Rasulullah SAW:
"Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda pahala." (HR Muslim).
Kita perlu mekarkan suasana ibadah di bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya dengan mengambil aspirasi Ramadan yang lalu. Maka dari itu, marilah kita terus beristiqomah dalam melakukan amal ibadah tanpa rasa jemu. Kehadiran Syawal dan selepasnya bukanlah pemutus kepada semua kebaikan, namun ia sebagai satu titik mula kepada nilai ketakwaan yang diperoleh semasa Ramadan.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment