MENGENANG TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI: SOSOK PEMIMPIN BAIK DAN LUHUR BUDI PEKERTI TINGGI DISAYANGI RAKYAT
Kelmarin seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian seorang tokoh pemimpin negara yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke -5 Tun Abdullah Ahmad Badawi. Allahyarham meninggal dunia sekitar pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN) 14 April 2025. Pemergian Allahyarham menyentak hati berjuta rakyat Malaysia yang rata – rata pernah hidup atau berada di zaman pentadbiran Allahyarham.
Benarlah kata banyak orang, “kita baik ramai sayang”. Begitu juga halnya dengan sosok seorang Tun Abdullah semasa hayatnya telah membela nasib pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Setiap daripada kita menikmati kemewahan hasil daripada pendapatan negara yang diagih sama banyak membuatkan hidup rakyat pada ketika itu boleh dikatakan agak senang. Bukan itu sahaja, di kalangan pemimpin negara beliau dikenali sebagai seorang yang lembut tetapi tegas, tidak banyak berbicara kosong, tidak gemar bercerita keburukan orang dan seorang pemimpin yang merendah diri.
Pendekatan ‘Islam Hadhari’ yang dibawa oleh beliau di zaman pentadbirannya berjaya menyatukan semua pihak walaupun terdapat perbezaan ideologi dan fahaman politik. Maka tidak hairanlah mengapa pendekatan tersebut mampu dijalankan sehingga kini biarpun beliau tidak lagi menjadi seorang Perdana Menteri. Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, mereka yang mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka.” (HR Bukhari dan Muslim).
Terima kasih Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana berjaya memimpin negara sehingga ke tahap maju seperti ini. Jasa dan pengorbanan Tun akan dikenang sebagai sosok pemimpin yang baik dan tinggi luhur budi pekerti. Pemimpin yang adil dan baik, disayangi rakyat, negara makmur, aman dan harmoni.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment