Mengenakan pakaian baru di hari raya merupakan antara sunnah di dalam agama Islam. Baik lelaki, wanita mahupun kanak – kanak, ia sudah menjadi tradisi bagi setiap rakyat di negara ini untuk membeli belah pakaian baru bagi meraikan kedatangan 1 Syawal. Namun, dalam kita meraikan sunnah berpakaian baru, ada satu hal yang sering dipandang remeh oleh semua pihak, iaitu pakaian yang menjolok mata terutama kaum wanita.
Islam tidak melarang wanita untuk kelihatan cantik, tetapi kecantikan itu perlu dijaga mengikut batasan yang ditetapkan oleh syariat. Islam membenarkan berhias untuk suami, namun berpakaian yang menarik perhatian lelaki bukan mahram adalah dilarang. Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik wanita adalah yang menyenangkan suaminya apabila dia memandangnya…" (HR Ahmad).
Hadis ini menggalakkan kaum wanita untuk menjaga adab, penampilan dan akhlak yang baik terhadap suami, yang merupakan antara ciri wanita solehah dalam Islam. Istilah ini merujuk kepada wanita yang berpakaian tetapi masih menampakkan bentuk tubuh atau aurat mereka. Ini termasuk pakaian yang ketat, nipis atau singkat. Hadis Nabi SAW menyebut bahawa wanita sebegini tidak akan mencium bau syurga kerana melanggar batasan Islam. Sabda Rasulullah SAW:
"Ada dua golongan ahli neraka yang belum aku lihat sekarang iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian, tetapi telanjang yang berlenggang-lenggok serta condong rambutnya seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya padahal bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan sejauh ini dan ini." (HR Muslim).
Wanita yang menjaga aurat dengan sempurna akan dapat melindungi kehormatan diri daripada sesuatu kejahatan yang boleh mencemarkan martabat diri mereka dan sekaligus mendapat keredhaan Allah SWT. firmanNya:
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;” (QS An – Nur: 31).
Ingatlah, jaga aurat dan jangan memperlihatkan bentuk tubuh badan semasa di hari raya kerana ini akan mengundang fitnah yang bahaya. Tidak salah untuk mengenakan pakaian yang cantik di hari raya kerana fitrah setiap manusia untuk kelihatan cantik. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dan memperbaiki cara berpakaian agar selari dengan tuntutan Islam, terutama pada hari yang penuh keberkatan seperti Aidilfitri. Marilah kita berusaha untuk menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya serta bersiap sedia menghadapi akhir zaman dengan penuh ketakwaan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment