PENCEROBOH TIADA HAK UNTUK MEMBUAT TUNTUTAN HORMATI DAN PELIHARA HAK SETIAP MANUSIA


Isu pencerobohan ke atas tanah yang sepatutnya diwakafkan untuk dibangunkan sebuah masjid kini masih lagi hangat diperbicangkan. Terbaru, sebuah tanah di Dengkil yang bakal dijadikan tapak masjid telah diceroboh dan dibina rumah ibadat lain tanpa izin. Walaupun perkara ini masih di dalam pemantauan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang setelah mendapat perhatian Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, namun perkara ini tidak boleh dipandang mudah.

Mana-mana rumah ibadat tidak sah walaupun ada yang mendakwa didirikan melebihi usia 100 tahun dan sebagainya perlu dibuktikan menerusi bahan dokumentasi sah dan bukan sekadar berlandaskan dakwaan semata-mata. Perbuatan menceroboh premis dan mencuri makanan milik orang lain adalah jenayah yang dilarang oleh Islam. Ia termasuk dalam kategori dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT. 

Dalam al – Quran dan As – Sunnah, terdapat perkara-perkara yang menyentuh hak-hak manusia. Ia adalah jaminan ke atas hak-hak rakyat adalah bertujuan supaya keadilan dan kesaksamaan dapat dicapai dan dinikmati oleh rakyat. Tujuan utama syariah adalah untuk menjaga kepentingan manusia dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Perkara yang menyentuh hak utama individu yang mesti dipelihara ada lima iaitu hak ke atas agama, nyawa (diri), akal, keturunan (maruah) dan harta. Bagi menjamin daripada pencerobohan ke atas hak-hak tersebut beberapa kaedah telah diadakan seperti Sad al-Zaraie iaitu suatu kaedah bagi jaminan dan perlindungan yang diberi oleh perundangan syariat. Dalam memperkukuhkan jaminan ini maka diadakan hukuman ke atas mereka yang menceroboh hak-hak tersebut.

Dalam hal ini, tempoh pendudukan sesuatu struktur bukan asas yang cukup untuk menentukan hak milik tanah. Rumah ibadat yang menceroboh itu perlu membuktikan mereka mempunyai hak dan pemilikan ke atas tanah kuil tersebut. Tempoh berapa lama telah diduduki bukan hujah pemilikan sebagaimana telah terbukti di dalam kes penghakiman Sekolah Sacred Heart Convent di Melaka, di mana kerajaan Melaka telah berjaya mengetepikan tuntutan dan mendapatkan hak milik tanah tersebut. 

Mengambil hak orang lain tanpa sebarang kebenaran adalah salah sama sekali. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang berlaku zalim dengan mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal, maka akan dilipat dan dihempap dengan tanah dari tujuh lapis bumi.” (HR Bukhari).

Islam sangat menekankan kepentingan menghormati hak sesama insan sebagai elemen utama dalam menjaga keharmonian dan kestabilan hubungan sesama manusia. Selain itu, badan agama juga perlu lebih proaktif dalam menasihati penganut masing-masing agar tidak menceroboh tanah untuk membina rumah ibadat. 

Mana-mana penceroboh tanah perlu segera berpindah tanpa sebarang tuntutan, malahan mereka perlu dikenakan tindakan tegas menerusi hukuman dan denda yang sesuai dengan nilai berdasarkan tempoh tanah diduduki secara haram. Semua pihak jangan menangguk di air yang keruh. Isu pelanggaran undang-undang mestilah diselesaikan dengan cara undang-undang bukannya dengan memainkan sentimen agama dan kaum. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments