PESTA AIR SONGKRAN: JANGAN GADAIKAN AKIDAH DEMI KESERONOKAN

 


"Jom kita pergi Pesta Songkran dekat Thailand nak? Ala pesta baling - baling air tu. Seronok tau!" Nampak seronok kan? Tapi dalam kita tidak sedar, kita sebenarnya sudah berada di persimpangan yang jauh dari akidah sebagai umat Islam. 

Di Thailand, pesta ini dikenali Pesta Maha Songkran. Perkataan Songkran diambil dari perkataan Sanskrit iaitu Samkranti yang membawa maksud perubahan. Songkran juga adalah satu penanda aras berakhirnya musim kemarau dan merupakan awal musim hujan mengikut kepercayaan penganut agama Buddha di Thailand.

Songkran secara tradisinya disambut dengan perhimpunan keluarga, memberi penghormatan kepada warga tua dan nenek moyang serta melaksanakan ritual keagamaan bagi patung Buddha. Antara amalan lazim dilakukan termasuk memandikan patung Buddha, menyimbah air sebagai simbol penyucian diri dan memberi penghormatan kepada para sami.

Pesta Songkran disambut setiap tahun selama tiga hari mulai 12 - 15 April yang merupakan permulaan Tahun Baharu bagi Thailand. Secara syaraknya, umat Islam dilarang sama sekali untuk menyambut  atau mengambil bahagian dalam festival ini secara langsung atau tidak langsung. Hal ini kerana ia sudah pun menjadi perayaan agama selain daripada agama Islam. Rasulullah SAW:

Sesiapa yang menyerupai sesuatu golongan / kaum, maka dia adalah daripada golongan tersebut." (HR Abu Daud). 

Apabila berbicara soal hiburan, banyak cara lagi untuk berhibur. Jangan jadikan alasan tidak tahu atau ingin bersuka - suka melibatkan diri di dalam sebarang festival agama lain. Jangan gadaikan maruah dan akidah sebagai umat Islam demi keseronokan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments