Satu Malaysia digemparkan dengan kenyataan seorang tokoh politik yang mengatakan bahawa kemenangan politik adalah lebih penting daripada mengerjakan ibadah haji dan umrah. Satu pendedahan yang amat mengejutkan namun kita sebagai umat Islam diminta jangan cepat melatah mengenai isu ini. Pertama sekali, memang benar dalam Islam kita digalakkan untuk memilih pemimpin untuk memimpin sesuatu golongan masyarakat. Ini seperti dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Jika ada tiga orang bepergian, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpinnya.” (HR Abu Daud).
Namun, untuk menyentuh hal ibadah yang harus dikebelakangkan bagi memberi laluan kepada hal duniawi boleh dikatakan satu yang tidak tepat. Bukankah kita telah dipesan untuk menyeimbangkan hal duniawi dan ukhrawi? Islam satu-satunya al-Din yang diredai Allah SWT yang akan menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi kepada umat manusia seluruhnya. Umat Islam pada hari ini masih belum boleh menilai dengan baik yang mana harus didahulukan, ada segelintirnya kadang – kadang membuat pemahaman sendiri mengenai ibadah dan urusan dunia. Ditambah pula dengan keluarnya kenyataan seperti ini, tidakkah ia menimbulkan kekeliruan? Ironisnya, umat Islam kini begitu mudah dilabelkan sebagai pelampau agama, golongan ekstrimis, fundamentalis dan pelbagai lagi gelaran yang mencalari maruah dan imej umat Islam sebagai khairu ummah dan ummatan wasatha.
Seiringan dengan gelombang kesedaran Islam kini, umat Islam sewajibnya menilai dan memahami hakikat beragama sebenarnya menurut kaca mata Islam. Al-Din Islam yang diredai Allah SWT tidak hanya sekadar ucapan lidah bahawa dia beriman kepada Allah, bahkan keimanan perlu diterjemahkan dengan amalan yang disyariatkan Islam seperti solat, zakat, puasa, haji dan lain-lain amalan ibadat. Ini bermaksud hakikat beragama sebenarnya luas pengertiannya sehingga merangkumi hubungan dua hala atau paksi iaitu paksi menegak dan paksi mendatar.
Paksi menegak itu bermaksud hubungan yang terjalin erat antara seseorang hamba dengan Tuhannya dalam usaha untuk menjadi seorang Muslim yang salih dan mengabdikan dirinya kepada Allah taala semata-mata. Manakala paksi mendatar pula bermakna hubungan yang tersimpul antara sesama manusia yang melibatkan hal ehwal Muslim secara umumnya seperti jihad, zakat, muamalat dan sebagainya termasuk hal politik. Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Takutlah kalian kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya dan janganlah kalian mati melainkan mati sebagai orang Islam." (QS Ali ‘Imran: 102).
Kita tidak sewajarnya meminggirkan terus agama daripada landasan hidup dalam kesibukan kita mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi, modernisasi dan dunia tanpa sempadan yang semakin rancak di pentas kehidupan dunia kini. Agama sewajibnya berfungsi sebagai momentum konkrit yang mengakari setiap ruang lingkup kehidupan manusia hingga mampu memancarkan nilai-nilai Islam kepada seluruh umat manusia.
Perlu ditegaskan nilai kerohanian perlu berjalan seiringan dalam setiap aktiviti keduniaan yang dilakukan umat Islam. Ini amat bertepatan dengan titah perintah Ilahi yang memerintahkan umat Islam supaya menjejaki keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi seperti firman-Nya dalam surah al-Qasas, ayat 77 maksudnya:
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi."
Tidak salah untuk kita mengejar duniawi demi kebaikan negara (dalam perihal memilih pemimpin), namun kita janganlah sesekali menolak urusan ukhrawi secara mentah. Jangan terlampau ghairah mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang padah. Kita mestilah bermuhasabah dan menilai diri sendiri apakah ciri-ciri keberagamaan kita sudah menepati landasan Islam yang sebenar. Ingatlah, dunia dicari akhirat juga perlu dikejar.
Sumber: Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Comments
Post a Comment