Semakin hari, trend di media sosial semakin pelik dan tidak masuk akal. Apa yang menyedihkan adalah sebahagian besar umat Islam dengan senang hati melakukannya tanpa paksaan. Mula dari segi penampilan, rupa, tarian dan sebagainya, ia bagaikan ‘memakan’ diri umat Islam sedikit demi sedikit. Apakah kita ini mahu mengagungkan budaya barat lebih daripada cara Nabi SAW?
Dari Abu Said al-Khudri RH katanya: Nabi Muhammad SAW bersabda: Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekali kamu tetap akan mengikut mereka. Kami bertanya adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Sabda Nabi SAW: Siapa lagi kalau bukan mereka?” (HR Muslim).
Sedar atau tidak, umat Islam kini sedikit demi sedikit telah pun mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam segenap segi kehidupan mereka sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial atau akhlak. Bahkan umat Islam akan bersetuju, berlapang dada atau suka dengan apa-apa yang disuarakan oleh Yahudi dan Nasrani dalam kehidupan mereka sekali pun dalam menangani masalah umat Islam sendiri.
Penerimaan budaya liberalisasi secara paksaan tersebut sekali gus membuka jalan kepada pengiktirafan budaya yang songsang dari fitrah kemanusian seperti hubungan sejenis antara lelaki dan lelaki dan perempuan dengan perempuan, hedonisme (hiburan melampau), zina, persetubuhan luar tabii, menggugurkan kandungan dan lain-lain lagi.
Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) saban tahun, mula dari kes pembuangan bayi, pengguguran bayi, tangkapan akibat kes – kes jenayah berat yang lain. Ini sudah cukup membuktikan bahawa pengaruh Barat sudah berjaya menguasai pemikiran umat Islam. Apa yang perlu kita lakukan? Kembali kepada ajaran asal kita, al – Quran dan As – Sunnah. Jangan sesekali meninggalkan dua perkara ini dan sentiasa isi dada kita dengan selawat dan zikir serta memohon kepada Allah SWT untuk sentiasa melindungi diri kita daripada terjerumus.
Islam perlu dijadikan tunjang asas kehidupan baik untuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan dan dalam masa yang sama, hak asasi orang bukan Islam terus dipelihara. Sebelum terlambat dan melihat lebih ramai anak bangsa terjerumus dalam lembah kehinaan dan kemaksiatan, perkasakan Islam demi untuk melihat masa depan yang lebih cerah dan gemilang untuk agama, bangsa dan negara. Normalisasi budaya Barat bukan jalan penyelesaian namun sebenarnya adalah jalan menuju kehancuran.
Sumber: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Kelantan
Comments
Post a Comment