Kehidupan beragama merupakan jati diri semua rakyat Malaysia selari dengan prinsip pertama Rukun Negara. Hal ini bermakna, rakyat bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing dan dalam masa yang sama mereka juga perlu menghormati ajaran agama yang lain dan dilarang menghina agama-agama tersebut.
Di Malaysia, isu penghinaan terhadap agama Islam sering berlaku dibandingkan dengan penghinaan terhadap agama lain. Ini mungkin berlaku kerana agama Islam telah menjadi agama rasmi Persekutuan dan dianuti oleh lebih daripada separuh populasi penduduk di negara ini. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila media sosial juga telah digunakan untuk menyampaikan informasi yang boleh merendah-rendahkan, memburukkan dan menjatuhkan martabat dan kemuliaan agama Islam sehingga mendatangkan ancaman kepada umat Islam.
Contohnya, pada 17 APR 2025, terdapat seorang penggunakan akaun Facebook menggunakan nama ‘Lyan Liu’ dalam hantarannya telah menghina Melayu dan Islam termasuk menyeru masyarakat untuk mengebom masjid ketika solat Jumaat. Hantaran yang menyentuh isu sensitif tersebut dan berbaur ancaman jelas menunjukkan niat dan cubaan untuk bertindak ganas sekiranya provokasi kenyataannya mendapat sambutan masyarakat yang bukan beragama Islam dan rasa dengki dengan umat Islam.
Oleh sebab itu, undang-undang yang sedia ada seperti Perlembagaan Persekutuan, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan , Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, Akta Kesalahan Kecil 1955, undang-undang berkaitan media cetak dan elektronik dan seumpamanya perlu digunapakai sepenuhnya dengan jitu bagi membendung isu-isu sensitif ini dipandang ringan dan diperkotak-katikkan oleh segelintir golongan yang ketegar dan mementingkan diri.
Justeru itu, jaga ucapan mahupun tindakan dari menyentuh isu-isu sensitif memandangkan Malaysia adalah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum. Pegangan status sebagai warganegara Malaysia seharusnya diselarikan dengan prinsip-prinsip Negara, jadi mengapa mahu mencetuskan ketegangan malah menimbulkan ancaman dalam persekitaran sosial sendiri yang kelak menyusahkan diri? Renung-renungkan.
Sumber: malaysiagazette.com dan Journal of Law & Governance, Vol. 5(1) – Universiti Melaka
Comments
Post a Comment