Berita yang amat menyedihkan! Seperti yang semua tahu bahawa para jemaah haji dan pengurusan Tabung Haji (TH) sering mendapat pujian daripada kerajaan Arab Saudi di atas pengurusan haji dan hospitaliti yang memuaskan serta antara yang terbaik di antara negara – negara Islam di dunia. Namun, berita mengenai 63 rakyat Malaysia dikenakan tindakan diusir dari Makkah ke Jeddah kerana tidak memiliki visa haji yang sah sangat mendukacitakan.
Mengikut laporan berita, jumlah itu direkodkan oleh pejabat perwakilan Malaysia sejak 29 April lalu hingga Jumaat lalu membabitkan mereka yang berada di kota suci itu termasuk yang dipercayai mahu melakukan ibadah haji tanpa permit. Untuk makluman, ini merupakan amaran keras dari kerajaan Arab Saudi yang kini mengambil tindakan tegas terhadap semua jemaah yang berada di Makkah tanpa visa haji. Mereka yang ditahan berada di Makkah tanpa visa haji sah boleh dikenakan denda antara RM22,000 hingga RM113,000, selain diusir dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.
Inilah yang boleh dikatakan, kerana terlalu ‘tamak’ untuk beribadah, maka undang – undang negara lain sanggup dilanggarnya. Apa salahnya mengikut giliran yang ditetapkan? Kerana ingin melakukan ibadah haji secara ‘fast track’ maka hukum halal haram dilanggar tanpa rasa bersalah. Sudah berapa kali artikel mengingatkan bahkan laporan – laporan berita juga telah disebar luas sebagai bentuk kesedaran kepada rakyat Malaysia dan bakal jemaah haji agar berhati – hati dengan pakej haji yang ditawarkan oleh pihak luar. Jangan kerana tertarik dengan tawaran yang murah, maka kita sanggup menggadaikan keselamatan kita di luar negara. Sedarkah kita kebanyakan pakej yang ditawarkan itu tidak mempunyai jaminan keselamatan? Bila – bila masa sahaja kita boleh ditangkap dan didenda.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama).” (HR Bukhari dan Muslim).
Satu pesanan buat umat Islam khususnya rakyat Malaysia, berhati – hatilah! Jangan sampai kita yang menjadi mangsa seterusnya. Selidiklah terlebih dahulu latar belakang syarikat yang terlibat sama ada mendapat pengiktirafan daripada TH ataupun sudah disenarai hitam. Akhir zaman ini terlalu ramai penunggang agama, menjual agama demi kemewahan dan kepuasan tembolok mereka. Ingat, tidak ada jalan mudah dan tidak ada jalan susah untuk beribadah, yang penting kita sentiasa mengikut jalur perundangan yang betul.
Sumber: Laporan Berita Harian (25 Mei 2025)
Comments
Post a Comment