Sorotan menunjukkan bahawa golongan ateis telah masuk menyerang Islam sejak sekian lama. Malangnya, karya ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) silam khususnya tidak sampai ke tangan generasi hari ini. Kebanyakan kisah mengenai penyelewengan golongan ateis dikutip secara berasingan daripada pelbagai kitab terkemudian. Sedangkan masalah ateis Muslim pada kurun ke-3 dan ke-4 Hijrah berada dalam keadaan membimbangkan.
Contohnya, peristiwa Abu Hanifah yang diserang oleh golongan ateis dengan pelbagai persoalan Tuhan dengan niat untuk memalukan dan memurtadkan umat Islam. Kisahnya dilaporkan bahawa Abu Hanifah telah dijemput oleh golongan ateis untuk berdialog tentang Tuhan. Pada hari yang ditentukan, kelibat Abu Hanifah tidak kelihatan dan mereka hampir putus asa menantinya. Tiba-tiba Abu Hanifah muncul dan meminta maaf di atas kelewatannya dan menjelaskan sebab beliau terlambat. Abu Hanifah berkata:
“Sejak pagi tadi aku berada di tepi sungai. Menunggu kedatangan tukang perahu yang akan menyeberangiku. Namun, setelah lama aku menunggu, dia tidak datang juga. Ketika itu aku melihat sejumlah papan terapung-apung di atas air. Lama-kelamaan papan-papan itu saling menyatu dan membentuk sebuah sampan. Aku pun segera menaiki dan mendayungnya menuju ke tempat kalian ini.”
Mendengan cerita Abu Hanifah tersebut, golongan ateis berkata: “Kamu mengarut, wahai Abu Hanifah. Bagaimana mungkin papan-papan itu membentuk sampan dengan sendirinya?” Abu Hanifah menjawab: “Jika kalian tidak percaya papan-papan itu dapat membentuk sampan dengan sendirinya, lalu bagaimana mungkin aku percaya bahawa alam semesta yang begitu teratur dan indah ini tercipta dengan sendirinya, tanpa adanya Pencipta Yang Maha Agung?” Mendengar jawapan itu, golongan ateis tersebut terdiam dan tidak mampu berkata-kata lagi. Hujah mereka telah dipatahkan oleh Abu Hanifah dalam sekelip mata. Akhirnya, golongan ateis ini bertaubat di tangan Abu Hanifah.
Kesimpulannya, sikap dan ketenangan Abu Hanifah perlu dicontohi oleh para Muslim ketika menghadapi golongan ateis. Selain menjawab persoalan dengan penuh berilmu, sekurang-kurangnya dapat membuka minda golongan ateis yang jahil terhadap persoalan Tuhan seterusnya terbuka pintu hati sujud pada Allah SWT dan menegakkan kebenaran Islam.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Comments
Post a Comment