ANCAMAN LIBERALISME DALAM PEMIKIRAN BELIA ISLAM


Pada tahun 2015, 380 orang belia sekitar Lembah Klang telah ditemubual dan dijalankan kaji selidik bagi mendapatkan pandangan umum belia terhadap agenda liberalisme. Hasil kajian menunjukkan mereka mempunyai kecenderungan kepada pemikiran liberal sama ada secara ikut-ikutan, penyokong, pendukung atau penyebar pemikiran liberal.

Bukan itu sahaja, ada juga yang menganggap liberalisme sebagai satu pilihan yang betul untuk umat Islam hari ini. Antara faktor yang mendorongnya pegangan mereka terhadap liberalisme disebabkan perasaan trauma dan bimbang terhadap apa yang pernah dilakukan gereja kepada penganut Kristian berulang kembali kepada umat Islam. Prejudis mereka terhadap institusi agama sangat tinggi sehingga mendorong menolak institusi agama sebagai badan yang menjaga urusan dan undang-undang umat Islam.

Berdasarkan hasil kajian tersebut, jelas menunjukkan bahawa para belia ini mempunyai pandangan yang salah terhadap Islam itu sendiri. Lebih menghairankan apabila mereka memukul rata perkara yang berlaku pada agama Kristian dan akhirnya menolak agama Islam. Bukankah mereka menyerlahkan kejahilan mereka? 

Sedangkan Islam adalah agama yang diturunkan Allah SWT untuk membebaskan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah SWT. Islam menjamin hak asasi semua makhluk di dunia ini termasuk manusia, haiwan, tumbuhan dan alam semulajadi. Islam telah menggariskan lima tujuan utama penurunan syariat Islam ke dunia untuk menjaga nyawa, akal, harta, maruah dan keturunan manusia. 

Islam satu-satunya agama yang lengkap sebagai jaminan agar hak semua makhluk Allah SWT terpelihara. Namun begitu, ramai manusia termasuk sebahagian orang-orang Islam sendiri yang ingkar dan berpaling daripada hidayah Allah SWT dan mereka berusaha mencipta kebebasan sendiri. Akhirnya mereka cipta kebebasan dan liberalisme dengan alasan agama menyekat kebebasan dan kemajuan. Ego diri menyesatkan mereka dan memusnahkan akidah.

Sumber: Jurnal Akademika, Vol.9(1) –Universiti Kebangsaan Malaysia


 

Comments