AWASI SAKI BAKI PENGIKUT AJARAN SESAT KERANA MEREKA TETAP TEGAR MENGEMBANGKAN IDEOLOGI MENYESATKAN UMAT ISLAM
Dalam kalangan masyarakat Melayu, pelbagai kepercayaan telah wujud sejak zaman berzaman. Meskipun individu Melayu secara zahirnya adalah beragama Islam, namun tetap ada segelintir yang percaya pada perkara berunsur khurafat seperti anismisme dan hinduisme. Kepercayaan sebegini biasanya menimbulkan pemujaan dan perhambaan diri kepada suatu kuasa yang berperibadi kerana mereka mempercayai bahawa ia boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada manusia.
Sebagai kesannya, nyawa dan roh yang dianggap berkuasa perlu dijaga dan dilayan dengan baik supaya tidak mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Kepercayaan sebegini sebagai salah satu contoh jika dibiarkan berlarutan tanpa pengawasan pihak berwajib akan mengakibatkan kesesatan kepada masyarakat yang mempercayainya.
Dengan adanya fatwa yang lengkap tentang ajaran-ajaran menyeleweng yang telah wujud di negara ini, maka sudah tentu jangkaannya ialah ajaran berkenaan akan berakhir, pengikutnya akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Namun hakikatnya, tinggalan ajaran berkenaan didapati masih ada dan cuba dikembangkan oleh saki baki pengikutnya. Kadangkala, ajaran sesat itu tidak kelihatan sesat sepenuhnya kerana bercampur-aduk antara yang benar dan salah. Jika umat Islam tidak berwaspada dan berhati-hati dengan dakyah yang dibawa, sudah pasti akan terperangkap dengan ajaranyang lazimnya menjanjikan pelbagai ‘keistimewaan’.
Justeru itu, dalam menghadapi ideologi-ideologi penyelewengan akidah ini, sebagai seorang individu Muslim tetaplah berwaspada dan meningkatkan pengetahuan agama menerusi cara yang betul serta mengelak diri daripada dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang kebanyakannya mempunyai agenda peribadi.
Sumber: Jurnal Syariah, Vol. 18(2) – Universiti Malaya
Comments
Post a Comment