BAHAYA MURTAD: APABILA KEBEBASAN DISALAHERTIKAN!


Islam sebagai sebuah agama yang syumul dan suci menjamin hak kebebasan beragama. Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan, malah Islam menyuruh umatnya untuk menghormati amalan agama lain sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 256.

Para fuqaha berpandangan bahawa hak kebebasan beragama yang dimaksudkan adalah hak untuk menganuti sebarang agama iaitu seseorang itu bebas untuk memilih agama dan jika beliau memilih Islam agamanya, maka adalah dilarang keras untuk keluar daripada Islam.

Namun, salah faham terhadap ungkapan ‘hak kebebasan’ yang ditafsirkan tanpa ilmu telah menyebabkan golongan jahil ini sanggup memperjuangkan kebebasan beragama, menyokong komuniti murtad dan menyebarkan pelbagai maklumat yang mengelirukan dengan niat untuk memurtadkan umat Islam. 

Contohnya, seorang pengguna Facebook melalui page bernama ‘Mr Murtad’ menyebarkan pengaruh mengenai hak-hak kebebasan untuk beragama dan pada waktu yang sama memburuk-burukkan agama dengan idea-idea penindasan dalam kehidupan beragama. Bukan itu sahaja, di platform yang lain turut wujudnya golongan sebegini aktif melakukan penghinaan terhadap agama Islam yang melibatkan bangsa Melayu-Islam di Malaysia. Hal ini memberi gambaran tentang bahayanya status akidah umat Islam di Malaysia saat ini.

Justeru itu, setiap lapisan masyarakat dan setiap pihak yang berwajib perlulah berganding bahu memainkan peranan masing-masing bagi membendung isu murtad ini dari terus berleluasa.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor


 

Comments