BERAMAL IBADAH ADALAH TANGGUNGJAWAB SEPANJANG HAYAT, BUKAN HANYA SEKADAR BERMUSIM


Apabila datangnya bulan Ramadan, maka ramai di antara kita yang berebut – rebut mengerjakan amal ibadah secara konsisten, tidak kiralah sama ada yang wajib ataupun yang sunat. Namun, apabila memasuki bulan Syawal, sudah mula nampak sedikit penurunannya. Memasuki bulan Zulkaedah, sudah semakin sedikit bahkan hampir tiada orang melakukan amal ibadah secara konsisten. Bakal memasuki bulan Zulhijjah, tidak diketahui bagaimana keadaanya.


Perlu diingatkan bahawa beramal soleh ini adalah tanggungjawab seorang Muslim bukan sahaja kerana ganjaran pahala semata – mata, tetapi ia adalah perintah dari Allah SWT dalam menunjukkan identiti Islam sebenar. Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda:


"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal." Para sahabat bertanya; "Bagaimana membuatnya beramal?" baginda menjawab: "Allah akan memberikan taufik padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum dia meninggal." (HR Ahmad).


Seharusnya bulan Ramadan menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT. Jika sepanjang Ramadan kita mampu melatih diri untuk bangun malam menunaikan solat tahajud dan witir, mengapa tidak diteruskan di bulan-bulan yang lain? Jika sepanjang Ramadan kita mampu membaca al-Quran setiap hari, mengapa tidak menjadikan bacaan al-Quran itu sebagai rutin harian sepanjang tahun? Allah SWT tidak hanya menilai amalan kita di bulan Ramadan, tetapi sepanjang hayat kita di dunia ini. Firman Allah SWT:


 "Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (iaitu maut)." (QS Al – Hijr: 99). 


Ayat di atas jelas menunjukkan peringatan Allah SWT bahawa ibadah bukanlah bersifat bermusim, tetapi seharusnya menjadi amalan hidup yang berterusan sehingga ajal menjemput kita. Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW dan umat Islam agar terus beribadah dan mengabdikan diri kepadaNya tanpa henti.  Ibadah tidak terhad kepada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi merupakan satu tanggungjawab sepanjang hayat. Maka, selagi hidup, manusia wajib beribadah kepada Allah SWT tanpa rasa jemu atau berhenti. 


Maka dari itu, umat Islam perlu kekal istiqamah dalam melakukan ibadah seperti solat, puasa, zikir, membaca al-Quran dan segala bentuk ketaatan kepada Allah SWT. Jangan kita lalai atau merasa cukup dengan amal yang sedikit. Kita perlu beribadah secara konsisten dan istiqamah dalam mentaati Allah SWT serta sentiasa bersedia menghadapi kematian yang pasti akan datang. Orang yang istiqamah dalam beribadah bukan sahaja mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT, bahkan ia menjadi benteng untuk menjaga hati dan jiwa daripada bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan.


Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Comments