Selama kita bernafas di dunia ini, pernah atau tidak sekali kita terfikir, adakah amalan kita sudah cukup untuk kita bawa balik ke negeri abadi iaitu akhirat? Dengan keadaan dunia yang semakin tidak tentu arah, bencana alam, perperangan dan pelbagai krisis termasuklah dengan krisis kesihatan yang terjadi. Bukan itu sahaja, di akhir zaman ini, banyak sekali kematian muda berlaku. Acap kali kita mendengar di laporan berita tentang kematian golongan muda sama ada sakit ataupun kemalangan, tidakkah kita merasa takut?
Setiap Mukmin dipertanggungjawabkan sentiasa mengingati kembali tujuan Allah SWT menciptakan manusia iaitu untuk beribadat kepadaNya. Maka dari itu, marilah kita mula mempersiapkan diri kita dengan memenuhi bekalan kita dengan amalan soleh sebagai bekalan dan persiapan untuk kembali ke negara akhirat. Firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (QS Adz Dzariyat: 56).
Ajaran Islam menuntut kita berusaha mempertingkatkan kuantiti dan kualiti ibadat, menjaga hubungan sesama manusia serta meningkatkan prestasi kerja dalam melaksanakan amanah di samping mencari rezeki. Setiap Mukmin perlu berusaha menjadikan hari baru yang dilalui sentiasa lebih baik dari hari semalam serta tidak mengulangi kesilapan sama berulang kali. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud:
“Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
Antara perkara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan iman dan takwa seiring dengan azam baharu adalah seperti memperbaiki solat. Selain itu, kita juga disarankan mentadabbur ayat al-Quran dengan memahami, menghayati isi kandungannya serta mengamalkannya dalam kehidupan. Kita juga harus meningkatkan ilmu pengetahuan kerana ia menjadikan manusia semakin tunduk dan takjub kepada Allah SWT. barulah kehidupan kita lebih diberkati oleh Allah SWT.
Justeru, marilah kita sama – sama berusaha untuk terus memperbaiki diri kita menjadi Muslim yang terbaik dan lebih baik dari sebelumnya. Ingatlah, kematian tidak mengenal usia, maka persiapkanlah diri dengan bekalan amalan yang secukupnya. Berdoalah semoga segala amalan kita ini di sisi Allah SWT.
Sumber: Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment