BERKASIH SAYANG SESAMA MAKHLUK ALLAH SWT ITU PERLU NAMUN JANGAN SAMPAI MENCELA SESAMA INSAN


Insiden kejadian perlanggaran antara sebuah lori bermuatan ayam dan seekor anak gajah di Jalan Gerik – Jeli pada Ahad lalu mengundang sebak dan sedih di kalangan hati rakyat Malaysia. Hal ini kerana banyak video yang dimuat naik di laman sosial memperlihatkan bagaimana keadaan ibu kepada anak gajah yang dilanggar itu tidak berganjak walau seinci sehingga anaknya dikeluarkan daripada bahagian bawah lori. 

Kejadian tersebut secara tidak langsung memperlihatkan naluri empati dan simpati rakyat Malaysia masih lagi menebal di dalam diri. Islam adalah agama yang menekankan prinsip ihsan, iaitu berbuat baik dengan cara yang terbaik kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT. Konsep ihsan bukan hanya tertumpu kepada hubungan antara sesama manusia, tetapi juga merangkumi interaksi manusia dengan haiwan. Dalam pandangan Islam, kasih sayang terhadap haiwan tidak sebatas suatu tanggungjawab moral dan rohani yang mendatangkan ganjaran, malah boleh menjadi asbab bagi seseorang itu mendapat rahmat Allah SWT dan mendapat tempat di syurga. Rasulullah SAW bersabda:

"Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit." (HR Ahmad dan Abu Daud dan At - Tirmidzi).

Namun, dalam kita melahirkan simpati terhadap nasib anak gajah yang dilanggar itu, jangan pula kita mencerca dan menghina pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Artikel perhatikan terdapat banyak kandungan yang dimuat naik berkenaan dengan anak gajah berkenaan menyalahkan pemandu lori. Boleh dikatakan banyak komen yang diberikan menghina, mencerca dan mencela pemandu lori tersebut yang dikatakan tidak peka dengan keadaan jalan yang gelap dengan memandu dalam keadaan laju. 

Bukankah insiden ini sesuatu yang tidak disengajakan dan diluar jangkaan? Dan jikalau benar pemandu lori tersebut bersalah, apakah hak kita untuk menjatuhkan hukuman ke atas beliau dengan menghina dan mencerca? Rasulullah SAW bersabda:

 “Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.” (HR Bukhari).

Ingatlah, merendah – rendahkan orang lain ibarat memakan bangkai saudaranya yang sudah mati! Ia menjadi lebih dasyat apabila penyataan yang dikeluarkan di ruang – ruang komen itu berbaur fitnah. Tidakkah berdosa memfitnah saudara seagama? Sabda Rasulullah SAW:

 “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari dan Muslim).

Maka dari itu ingatlah, berhati – hati dalam mengeluarkan sebarang kata – kata. Berkasih sayang sesama makhluk Allah SWT itu dituntut dalam agama, namun jangan sampai mengeluarkan kata – kata Nista kepada penyebabnya. Dalam kita mahu meraih pahala kerana merasa simpati kepada haiwan, kita tidak sedar kita sudah pun mencipta dosa dengan mencerca, menghina dan mencela pemandu lori terbabit. Renung – renungkanlah tindakan kita. Benar atau salah?

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments