BUDAYA BULI MASIH BERLELUASA JADILAH MANUSIA YANG SALING MEMPUNYAI SIFAT EMPATI DAN MELINDUNGI


Kes buli semakin menjadi – jadi di negara ini. Ramai pihak seakan tidak mengambil iktibar dari insiden yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tetap dan masih ada laporan mengenai kejadian buli sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Selepas insiden buli yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Utara tanah air, satu lagi kejadian buli yang melibatkan seorang penuntut Orang Kelainan Upaya (OKU) di sebuah institusi kemahiran dilaporkan berlaku di Melaka.  

Walaupun kejadian yang tular itu adalah kejadian lama dan pihak yang terlibat sudah pun saling bermaafan, ia bukan bermakna ia harus dilupakan. Gurauan keterlaluan bukan lagi boleh dijadikan alasan. Video yang mencetuskan kemarahan ramai itu menunjukkan seorang pelatih OKU dipermainkan dengan tindakan seperti membaling botol ketika dia tidur serta menyembunyikan motosikal miliknya dalam sangkar. Hal itu menarik perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mahukan tindakan tegas diambil kepada pihak yang terlibat kerana beliau tidak akan sesekali berkompromi dalam perbuatan membuli, terutamanya apabila ia melibatkan individu istimewa.

Buli masih lagi berleluasa. Perbuatan ini sama sekali zalim kerana menyebabkan mangsa merasa terhina, terpinggir, dan diperlakukan dengan tidak adil. Tindakan seperti ini bukan sahaja merosakkan hubungan sosial, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi dan mental mangsa. Budaya hedonisme masyarakat Barat semakin menular di kalangan belia di negara ini yang menganggap ianya sekadar gurauan. Seharusnya dalam hal ini, setiap individu tidak kira di rumah mahupun persekitaran tempat belajar wajar menangani perkara ini dengan lebih serius.

Islam adalah satu agama yang benar-benar menjaga dan memelihara karamah insaniah (kemuliaan insan). Sebab itu kita dapati bahawa di dalam Islam terdapatnya hukuman qisas yang mana antara takrifannya adalah: Hukuman yang ditentukan kadarnya dari sudut syarak sebagai hak kepada anak Adam. Firman Allah SWT:

“Dan demi sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam.” (QS Al – Isra’: 70).

Berdasarkan ayat di atas, maka jelas sekali Allah SWT sangat memuliakan kita, hambaNya. Mengapa pula kita perlu melayan manusia lainnya dengan cara terhina?! Larangan dan balasan buat mereka yang memukul orang lain adalah tersangat banyak seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis-hadis. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka.” (HR Muslim).

Allah SWT mengajar kita untuk menjadi seorang hamba yang taat kepada perintahNya, saling menghormati sesama manusia, berkasih sayang antara satu sama lain, serta menjaga hak-hak karamah insaniah. Ingatlah, apabila kita membuli orang lain boleh jadi kita juga bakal dibuli oleh orang lain dalam hari-hari yang mendatang. Boleh jadi anak-anak kita juga akan menjadi mangsa buli pada masa hadapan kelak. Tanamkanlah sifat empati dan saling melindungi di antara satu sama lain, lebih – lebih lagi sesama umat Islam. Bukankah setiap umat Islam itu bersaudara? 

Barangsiapa yang terlibat dengan perbuatan buli ini merasa insaf, bahawa setiap tindakan dan amalan kita di atas bumi ini akan dinilai oleh Allah SWT dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan malaikat. Tambahan pula perbuatan menzalimi manusia yang lain tanpa hak. Marilah kita sama-sama membulatkan tekad agar dapat kita hidup dalam keadaan tolong-menolong, saling berkasih sayang, serta hormat-menghormati antara sesama manusia. Jauhilah perbuatan buli-membuli.

#YOUTOUCHYOUGO

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments