Sebahagian besar sarjana zaman moden di Barat turut mengakui kewujudan Tuhan. Dalam sebuah buku bertajuk "The Evidence of God in an Expanding Universe", telah dikumpul 30 artikel daripada ilmuan atau sarjana Barat di Amerika dalam pelbagai bidang bagi menjelaskan bahawa Tuhan itu adalah wujud berdasarkan kepakaran masing-masing.
Contohnya, dalam artikel Robert Morris bertajuk ‘A Conclusive Test’ menyatakan bahawa para rasul yang mendakwa diutuskan oleh Tuhan telah menyampaikan dua perkara penting iaitu; pertama, tentang alam ini adaya Pencipta yang wajib diimani dan kedua, tentang perkara-perkara ghaib yang akan berlaku kelak.
Perkara kedua benar-benar berlaku dan sebahagiannya boleh dilihat sehingga kini. Hal ini membuktikan kebenaran risalah yang dibawa oleh mereka sehingga mewajibkan manusia percaya kepada para rasul, termasuklah berita mengenai Tuhan. Akal manusia tidak dapat menolak atau membantah kebenaran yang dibawa oleh para rasul. Malah keimanan akan kewujudan Tuhan merupakan perkara terpenting yang tumbuh dalam perasaan dan sanubari fitrah manusia.
Dalam artikel Merritt Stanley bertajuk ‘The Lesson of The Rosebush’, beliau menyatakan bahawa perkara yang diyakini oleh manusia hanya bersandarkan kepada logik akal semata-mata. Antaranya manusia mempercayai kewujudan atom, walaupun mereka sendiri tidak pernah melihat atom secara langsung. Demikian juga halnya dengan kewujudan Tuhan, yang mana manusia boleh mengenal Tuhan melalui logik. Dengan kemampuan akal yang sihat, manusia dapat memikirkan tentang adanya satu kekuatan luar biasa yang telah mengatur dan mengusai alam semesta ini. Segala yang ada di alam ini sebagai bukti jelas kewujudan Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Menguasai. Malah penelitian ilmiah semuanya kembali kepada tanda-tanda kewujudan Tuhan.
Berdasarkan pengakuan para sarjana Barat ini, walaupun sebahagian mereka bukan beragama Islam, tetapi kepercayaan mereka terhadap kewujudan Tuhan masih menjadi pegangan kukuh dalam diri mereka. Kajian ilmiah yang dijalankan jelas membuktikan tentang kebenaran Tuhan sebagai Maha Pencipta bagi alam semesta. Hal ini menunjukkan bahawa keimanan kepada Tuhan merupakan pegangan yang diterima oleh setiap manusia yang berakal tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan.
Maka pemikiran menolak kewujudanTuhan, sebagaimana pegangan golongan ateis bukanlah suatu yang bersifat ilmiah, bahkan ia menyalahi fitrah semulajadi kejadian manusia yang berhajat kepada Tuhan.
Sumber: Buku Ateisme: Satu Penelitian Awal – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Comments
Post a Comment