Ada banyak sifat atau watak manusia yang kurang baik, salah satunya adalah sombong. Sombong merupakan sikap manusia ketika ia mengagungkan diri sendiri dan merendahkan orang lain. Ternyata, sikap sombong ini merupakan salah satu sikap yang amat dibenci Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (QS Al – Isra: 37).
Setiap manusia khususnya umat Islam dilarang untuk memiliki sifat sombong kerana hal tersebut dibenci oleh Allah SWT. Bahkan, umat Islam tidak boleh memalingkan wajahnya ketika bertemu sesama Muslim atas sifat sombongnya. Sifat sombong ini amat dimurkai Allah SWT. Orang yang mempunyai sifat sombong di dalam hati akan terpancar di wajahnya. Apa perlu kita sombong? Adakah kita hebat bila mempunyai kedudukan lebih daripada orang lain?Akhirnya kita ke bawah juga dimakan oleh cacing-cacing. Seperti kata Buya Hamka:
“Manusia itu asalnya daripada tanah, makan hasil tanah, berdiri di atas tanah, akan kembali kepada tanah, tetapi kenapa masih lagi bersifat langit?”.
Ingatlah, sekiranya kita masih lagi bersifat sombong dan suka mengamalkan sifat ini hidupnya dibenci orang, tiada seorang pun yang akan berkawan rapat dengan kita. Di dunia lagi, Allah SWT telah tunjuk betapa hinanya orang yang sombong, apatah lagi di akhirat. Ketahuilah, sifat sombong ini hak mutlak Allah SWT. Sepatutnya kita malu dan segan mengambil sifat yang Maha Esa. Sifat sombong ini boleh menjatuhkan kita kepada syirik khafi.
Di dunia lagi, Allah SWT telah tunjuk betapa hinanya orang yang sombong, apatah lagi di akhirat. Jangan sampai Allah swt menutup pintu hati dikalangan kita yang bersifat sombong untuk menerima kebenaran sesebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukmin ayat 35:
“… demikianlah Allah mengunci mata hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.” (QS Al – Mukmin: 35).
Sekiranya kita masih lagi bersifat sombong, ia tidak akan mendatangkan sebarang faedah dan kebaikan kepada diri sendiri dan juga masyarakat. Malah ia boleh memutuskan silaturahim dan boleh memecahbelahkan perpaduan. Jadi, jangan sesekali kita sombong dan bongkak, ikutlah seperti pepatah “Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk, makin berilmu makin tawaduk”.
Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah engkau sombong dengan kebenaran yang datang, sombong itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” (HR Muslim).
Sumber: Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Comments
Post a Comment