Makkah al-Mukarramah, tempat yang paling mulia di sisi umat Islam di seluruh dunia. Tempat ini tidak hanya menjadi simbol kesatuan umat Islam, tetapi juga tujuan utama bagi setiap Muslim yang ingin mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Perjalanan menuju Baitullah di Makkah bukan sekadar sebuah perjalanan biasa, tetapi perjalanan spiritual yang mendalam. Ibadah haji dan umrah adalah dua jalan yang memungkinkan seseorang Muslim untuk melangkah menuju Baitullah al- Haram kerana Allah SWT.
Persiapan menuju Baitullah tidak hanya berkaitan aspek spiritual, tetapi juga memerlukan persiapan mental dan fizikal yang kuat. Ibadah haji adalah perjalanan memerlukan stamina yang baik. Akan tetapi, adakah kita mengetahui hikmah di sebalik perjalanan rohani ini? Firman Allah SWT:
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (QS Ali ‘Imran: 97).
Haji mengandungi hikmah, rahsia dan tujuan yang agung dan mulia. Di dalamnya terkandung dua kebaikan, iaitu dunia dan akhirat. Allah SWT telah mengisyaratkan hal ini melalui firmanNya dalam al-Quran:
“Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.” (QS Al – Haj: 28).
Haji merupakan medan berkumpul yang besar, mampu menghimpun seluruh delegasi Muslim dari segala pelosok dunia dalam satu waktu dan tempat. Dengan haji, para delegasi dapat saling berkenalan dan saling memahami, sehingga mereka menjadi umat yang utuh dan tidak berpecah-belah, berada dalam satu satu barisan untuk menyelesaikan permasalahan agama dan dunia.
Malah, haji juga mengandungi faedah dan manfaat sosial, budaya dan politik yang tidak terhitung banyaknya. Haji juga merupakan salah satu bentuk ibadah yang agung kepada Allah SWT dengan cara merasakan nikmat, khusyu’, merendahkan diri, mengorbankan jiwa dan harta, menanggung risiko di jalan, berpisah dengan keluarga dan tanah air. Semua itu tidak lain merupakan bentuk ketaatan, kerinduan, dan kecintaan kepada Allah SWT serta mendekatkan diri kepada-Nya dalam bentuk mengunjungi Ka’bah yang mulia dan tempat-tempat yang suci. Atas dasar inilah, Rasulullah SAW bersabda:
“Haji yang mabrur, tidak ada ganjarannya selain syurga.” (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, sekiranya berkemampuan, laksanakanlah ibadah haji. Dengan melaksanakan ibadah haji, kita akan menjadi seorang hamba Allah SWT yang tawadduk dan bersederhana. Ibadah haji merupakan pensyariatan yang diturunkan berdasarkan kepada kemampuan manusia. Namun, pelaksanaannya menuntut kepada iltizam yang tinggi dan merupakan rukun yang terakhir yang melengkapkan kesempurnaan Islam seseorang.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment