Baru – baru ini dunia dikejutkan dengan kematian Ketua Paderi Dunia, Paus Francis pada 21 April 2025 di usia 88 tahun akibat penyakit pneumonia yang kronik. Maka, seluruh pemimpin dunia menghadiri upacara penghormatan terakhir buat mendiang sebelum dikebumikan di Vatican City. Salah seorang pemimpin yang hadir ke upacara tersebut yang menjadi sorotan para netizen adalah bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo. Apa yang menjadi tumpuan para netizen adalah cara beliau berdiri di hadapan keranda Ketua Paderi itu sambil berdoa.
Persoalannya, adakah Islam membenarkan kaumnya untuk menghadiri dan mendoakan kesejahteraan si mati yang bukan beragama Islam oleh seorang Muslim? Berdasarkan panduan daripada penceramah – penceramah agama, hukum menziarahi orang bukan Islam yang meninggal dunia adalah dibolehkan sekiranya niatnya adalah untuk menunjukkan akhlak yang baik, menjaga hubungan kemanusiaan dan mengelakkan salah faham. Tindakan ini sesuai dengan prinsip Islam yang menekankan pentingnya adab dan hubungan baik dengan semua manusia, tanpa mengira agama. Firman Allah SWT:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al-Mumtahanah: 8).
Ayat di atas menunjukkan bahawa umat Islam digalakkan untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam selagi mereka tidak bermusuhan atau memerangi umat Islam. Menziarahi jiran atau rakan sekerja bukan Islam yang meninggal dunia termasuk dalam kategori berbuat baik. Dalil Hadis Rasulullah SAW menunjukkan contoh melalui perbuatan Baginda. Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW berdiri sebagai tanda hormat apabila jenazah seorang Yahudi melalui kawasan baginda:
Dari Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata, “Ketika jenazah seorang Yahudi diusung melewati Rasulullah SAW, baginda berdiri. Lalu baginda diberitahu, ‘Itu adalah jenazah seorang Yahudi.’ Baginda menjawab, ‘Bukankah dia juga seorang manusia?'” (HR Bukhari dan Muslim).
Walau bagaimanapun, untuk mendoakan keampunan atau keamanan kepada orang kafir yang telah mati dalam agama kafirnya adalah haram walaupun orang kafir tersebut adalah kaum kerabatnya. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:
“Tiada harus bagi Nabi dan orang-orang yang beriman mendoakan keampunan bagi sekelian orang musyrikin itu walaupun mereka adalah saudara mara yang dekat kemudian daripada telah nyata sungguhnya mereka itu adalah ahli neraka.” (QS At – Taubah: 113).
Kesimpulannya, menziarahi orang orang bukan Islam yang meninggal dunia adalah dibolehkan dalam Islam selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan menjaga batasan syariah. Perbuatan ini menunjukkan keindahan akhlak Islam dan dapat mempereratkan hubungan antara manusia tanpa mengira agama.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor
Comments
Post a Comment