Gerakan pemikiran liberal atau liberalisme telah tersebar dan menular di Malaysia pada hari ini yang dikenali sebagai fahaman Islam liberal. Falsafah liberalisme ini adalah mengangkat kebebasan individu dalam semua aspek termasuk agama, ekonomi, ideologi dan politik melebihi batas syarak. Golongan ini meletakkan akal pada tempat yang paling tinggi melebihi syariat Islam dan sumbernya iaitu al-Quran dan as-Sunnah.
Meskipun mereka tidak menzahirkan diri mereka sebagai golongan yang menolak agama, namun mereka berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama. Bagi mereka, agama hendaklah dipadankan dengan realiti semasa agar dapat disesuaikan dengan kemodenan hari ini. Antara contoh perkara utama yang sering menjadi isu pertikaian golongan Islam liberal ini adalah:
i. Mentafsir semula al-Quran;
ii. Menolak hadis sebagai sumber Islam;
iii. Kebebasan beragama;
iv. Persamaan hak antara lelaki dan wanita berdasarkan perspektif feminisme;
v. Tuntutan gaya hidup LGBT; dan sebagainya.
Isu-isu yang diperjuangkan oleh golongan Islam liberal ini perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak. Pemerintah dan golongan intelektual Islam juga perlulah sama-sama berganding bahu menangani golongan ini agar penularan pemikiran sesat mereka tidak menjadi satu wabak kepada Islam dan umatnya.
Golongan ini dilihat bukan sekadar cuba melenyapkan warisan khazanah keilmuan Islam, sebaliknya sedikit demi sedikit mengikis kepercayaan dan akidah umat Islam. Membiarkan golongan liberal ini bermaharajalela menuntut kebebasan mereka atas nama ‘hak asasi manusia’. seolah-olah kita bersetuju dengan tindakan dan perbuatan mereka. Walhal, perbuatan tersebut secara jelasnya melanggar syariat Allah SWT. Justeru itu, perkara ini perlulah segera dibendung supaya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar terhadap agama dan umat Islam.
Sumber: Jurnal al-Ummah 2 – Universiti Kebangsaan Malaysia
Comments
Post a Comment