KESESATAN SYIAH MEROSAKKAN NAMA BAIK ISLAM DAN MERUNTUHKAN SISTEM SOSIAL MASYARAKAT ISLAM


Wahai umat Islam! Cuba fikirkan, jika benar Syiah hanyalah satu mazhab, perlukah seseorang menukar mazhabnya daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) kepada Syiah? Oleh sebab itu, sekitar tahun 1996-1997 lagi, jawatankuasa fatwa negeri-negeri di Malaysia dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan kesesatan Syiah.

Maka, umat Islam usah pedulikan suara-suara sumbang yang menggesa agar kajian semula dilakukan terhadap fatwa-fatwa terhadap Syiah. Fatwa pengharaman Syiah pada hakikatnya dikeluarkan setelah kajian terperinci dilakukan pakar-pakar agama dan sarjana Islam. Membenarkan ajaran Syiah seolah-olah membenarkan pencerobohan terhadap sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Syiah menyebarkan ajaran mereka dengan merosakkan nama baik para Sahabat yang mana ia sekali gus menyebabkan al-Quran dan semua hadis yang dikumpulkan oleh para ulama akan tertolak. Masakan tidak, bukankah al-Quran dan hadis datang melalui para Sahabat? Oleh kerana itu, masyarakat perlu ditanam dengan kecintaan terhadap para Sahabat.

Selain itu, ajaran Syiah juga merosakkan sistem sosial masyarakat Islam di negara ini. Sehingga sekarang beberapa kes perkahwinan antara Sunni-Syiah dilaporkan ke jabatan-jabatan agama. Perbalahan antara pasangan Sunni-Syiah tidak boleh diselesaikan menurut prosedur biasa kerana melibatkan soal akidah. Contohnya, apabila berlaku penceraian, hak hadanah biasanya akan diberikan kepada isteri. Sekiranya kes tersebut melibatkan pihak isteri yang berfahaman Syiah, pihak berkuasa akan menghadapi situasi konflik. Bayangkan masa depan anak-anak berkenaan yang bakal berhadapan dengan perkara bertentangan dengan ajaran ASWJ.   

Justeru itu, berhati-hatilah dalam soal akidah kerana bukan sahaja memberi kesan pada diri sendiri, malah akan turut melibatkan dan menjejaskan akidah keturunannya. Jika tidak ada pihak yang ‘masuk campur’, maka jangan hairan jika ramai umat Islam yang hanya sekadar Islam pada namanya, tetapi disebaliknya mengamalkan akidah yang terpesong. Renung-renungkan.

Sumber: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah


 

Comments