Jihad adalah antara istilah yang banyak dikelirukan terutama sekali melalui media barat. Mereka sering menyamakan jihad dengan ‘holy war’, sedangkan dalam Islam tidak ada konsep ‘holy war’. Yang mempelopori konsep ini adalah mereka yang beragama Kristian apabila mereka melancarkan Perang Salib terhadap umat Islam.
Disebabkan orang barat menguasai media, maka makna jihad sebagaimana tafsiran mereka itulah yang digembar-gemburkan sampai umat Islam turut terpengaruh dan menerima makna itu. Sedangkan makna jihad bukan hanya membawa maksud peperangan tetapi banyak lagi bentuk-bentuk jihad yang lain, bahkan dalam hadis jihad dalam bentuk peperangan disebut sebagai jihad yang kecil sahaja.
Jihad itu sendiri adalah satu konsep yang lebih besar tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Jihad peperangan itu dianggap besar dan ia pula langsung tidak mengambil kira batasan yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan jihad mereka menggunakan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’. Kononnya niat mereka betul untuk menghapuskan kezaliman, untuk mendatangkan kebaikan kepada umat Islam dan untuk menghapuskan musuh-musuh Islam, namun mereka telah terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.
Kesimpulannya, umat Islam perlu buka minda, buka hati untuk menelusuri ilmu agama yang benar kerana tidak ada agama yang membenarkan umatnya untuk membinasakan diri atau menyakiti orang lain demi mencapai matlamat agama. Jihad juga ada cara-caranya, ada adab-adabnya yang telah ditetapkan oleh syariat, semuanya demi menjaga kemaslahatan bukan sahaja umat Islam tetapi jua umat sejagat. Moga dengan jihad-jihad selain peperangan meskipun nampak lemah caranya, tetapi sebenarnya ia adalah senjata paling kuat sehingga boleh mengetuk pintu hidayah seseorang. Renung-renungkan.
Sumber: Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Comments
Post a Comment