LELAKI FITRAHNYA MELINDUNGI DAN WANITA FITRAHNYA DILINDUNGI: JAGALAH BATAS PERGAULAN DAN MARUAH MASING – MASING
Insiden seorang lelaki dibelasah sekumpulan tujuh orang lelaki di Johor Bahru pada dua minggu lalu menjadi bualan hangat warga maya. Ada yang melahirkan rasa simpati kepada lelaki berkenaan dan tidak juga ada yang mengecam. Dikatakan lelaki tersebut dipelawa oleh seorang wanita yang baru dikenalinya menerusi laman platform TikTok bertandang ke rumah untuk menemaninya.
Namun, sebaik sahaja beliau tiba di rumah wanita tersebut, beliau dikerumuni oleh kumpulan lelaki berkenaan dan dipukul beramai – ramai hingga mengalami kecederaan yang agak parah. Insiden yang tular di media sosial itu segera ditangani oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila berjaya menahan kesemua suspek bersama seorang wanita yang dipercayai kenalan mangsa untuk siasatan lanjut.
Apa yang boleh artikel simpulkan di sini adalah soal batas pergaulan dan penjagaan maruah sebagai seorang lelaki dan wanita lebih – lebih lagi seorang yang bergelar Muslim dan beragama Islam. Dalam Islam telah diajarkan kepada kita untuk sentiasa menjaga harga diri dan maruah masing – masing. Harga diri merujuk kepada maruah yang perlu dipelihara pada setiap masa. Tidak ada insan waras sanggup membiarkan dirinya diperlakukan sewenangnya oleh orang lain. Kita jangan sesekali membiarkan diri kita dizalimi, diperkotak-katikkan serta ditertawakan orang lain. Maruah diri perlu dipelihara tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan taraf hidup. Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (QS An – Nur: 31).
Sebagai lelaki, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi wanita, bukan sahaja melindungi dari sudut fizikal, tetapi juga dari sudut mental dan harga diri. Allah SWT berfirman:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita,oleh itu Allah telah melebihkan orang-orang lelaki(dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari hartanya……" (QS An – Nisa’: 34).
Lelaki yang baik adalah lelaki yang mehormati dan meninggikan darjat wanita. Besarnya tanggungjawab seorang lelaki sehinggakan segala tanggungjawab keatas wanita dipikulkan keatas bahu seorang lelaki. Manakala bagi wanita, tugas kita untuk menjaga maruah diri sendiri. Hal ini sering disebutkan oleh Nabi SAW menerusi sebuah hadis yang bermaksud:
“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR Muslim).
Jadi, kedua – dua pihak mempunyai peranan masing – masing dalam memelihara diri. Jangan disebabkan oleh godaan syaitan maka kita terhanyut dengan kelalaian hingga akhirnya memudaratkan diri masing – masing. Wanita yang solehah dan lelaki yang soleh serta bertakwa kepada Allah SWT adalah golongan yang mengerjakan amal baik dan meninggalkan larangan-Nya. Oleh itu Allah SAW akan memberikan ganjaran dengan jaminan memasuki syurga dari pintu mana pun yang diinginkannya. Maka dari itu, jagalah diri dan maruah masing – masing agar sentiasa terpelihara dan diredhai oleh Allah SWT.
Sumber: Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis
Comments
Post a Comment