LIBERALISME BUKAN JAWAPAN KEPADA KEADILAN DAN HAK ASASI, NAMUN ISLAM ADA SEGALANYA

 


Liberalisme adalah nama baharu dan kesinambungan kepada sekularisme yang memiliki peringkat baru dan menumpukan kepada idea kemerdekaan manusia serta kebebasan daripada segala bentuk aturan dan batasan agama. Liberalisme menjadikan kebebasan sebagai nilai tertinggi dan atas nama kebebasan ini maka lahirlah gerakan LGBTQI, feminisme, humanrightisme, dan gerakan seumpamanya yang membelakangkan aturan agama dan Tuhan.

Bagi golongan ini, tiada satu pun dikatakan suci, maka apa pun autoriti boleh direndahkan dan dikritik, baik Tuhan, Nabi, mahupun kitab suci. Apabila memahami liberalisme sebagai suatu ideologi dan falsafah yang berusaha untuk meminggirkan dan menggantikan peranan agama dalam kehidupan manusia, maka golongan tersebut akan dapat melihat bahawa liberalisme bukan sahaja bertentangan dengan Islam tetapi juga berbahaya kepada masa depan umat dan peradaban manusia.  

Sebahagian golongan liberal menggunakan alasan, sekiranya Islam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia, maka sewajarnya umat Islam menerima liberalisme. Sedangkan sebagai umat Islam, tidak perlu untuk berpegang kepada liberalisme jika ingin memperjuangkan hak asasi manusia, kerana Islam telah lama mengenal dan mengamalkan hak asasi manusia semenjak berkurun lama lagi sebelum ianya diperkenalkan barat. 

Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa tidak perlu untuk seseorang itu menjadi liberal dan menerima ideologi liberalisme untuk mendokong idea kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia kerana idea-idea ini bukan milik mereka dan bukan berasal daripada liberalisme.

Sumber: Jurnal Afkar, Vol. 20(2) – Universiti Teknologi Malaysia


Comments