MUSIM HAJI TELAH KEMBALI: PERBAHARUILAH NIAT UNTUK SENTIASA TAWADDUK DALAM BERIBADAH, BUKAN HANYA MENGEJAR GELARAN “HAJI”

 


Musim ibadah haji kini telah kembali dengan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim 1446H/2025M telah berlepas ke Madinah pada 29 April lalu. Namun, di sebalik keterujaan untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima ini, setiap jemaah perlu memahami bahawa perjalanan haji bukan sekadar memenuhi tuntutan fizikal, malah lebih utama ialah persiapan hati dan rohani. Allah SWT berfirman:

 "Dan hendaklah kamu membawa bekal kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa. Bertakwalah kepada-Ku, wahai orang-orang yang berakal." (QS Al – Baqarah: 197).

Sedikit nasihat penting buat semua bakal jemaah haji yang bakal atau telah berangkat bagi memastikan kesempurnaan ibadah haji. Pertama, luruskan niat dan tujuan ke Baitullah. Haji adalah ibadah yang hanya diterima jika dilakukan dengan niat yang benar dan betul tanpa dicampur dengan tujuan yang tidak wajar. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya." (HR Bukhari).

Dalam erti kata lain, setiap jemaah perlu memperbaharui niat, bukan untuk gelaran 'haji' atau sanjungan masyarakat, tetapi semata-mata mengharapkan reda Allah SWT. Bukan itu sahaja, para jemaah juga hendaklah sentiasa tawadduk dalam melakukan ibadah dan tidak riak serta sombong. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan tidak akan sampai setinggi gunung.” (QS Al – Isra’: 37).

Kedua, persediaan ilmu sebagai panduan sepanjang ibadah. Allah SWT mengangkat darjat orang yang berilmu. Ketiga, kesabaran senjata menghadapi ujian. Perjalanan haji penuh ujian antaranya sesak, panas, penat dan kadangkala berlaku kekeliruan. Sabar adalah kunci kejayaan dalam semua keadaan tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

"Tiada satu pemberian yang lebih baik dan lebih luas diberikan kepada seseorang melainkan kesabaran." (HR Bukhari).

Keempat, akhlak mulia adalah cerminan ibadah. Akhlak baik lebih utama daripada semangat ketika berada di Tanah Suci. Jangan biarkan kepenatan atau kesesakan menjadi alasan untuk bertengkar atau bermasam muka. Kelima, doa senjata rohani. Antara nikmat terbesar musim haji ialah peluang berdoa pada tempat dan masa yang mustajab. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah." (HR At – Tirmidzi).

Kejayaan haji sebenarnya bergantung kepada diri masing-masing berhubung sejauh mana hati dipersiapkan, amal diluruskan dan sabar dipelihara. Semoga bakal jemaah haji pada tahun ini dikurniakan haji yang mabrur, diterima Allah SWT dan pulang membawa cahaya iman untuk diri, keluarga dan masyarakat. Tiada balasan bagi haji mabrur selain syurga, selamat berangkat, selamat kembali. Labbaika Allahumma labbaik!

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments