PERINGATAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM BERHATI – HATI DENGAN MAKSIAT DI BULAN HARAM


Bulan Haram ini terdiri daripada empat buah bulan di dalam Islam iaitu Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Bulan ini dinamakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya masa itu beredar seperti keadaan asalnya pada hari Allah menciptakan langit-langit dan juga bumi. Setahun itu ada dua belas bulan, dan ada empat bulan-bulan haram. Tiga yang berturut-turut, iaitu Zul Qa’dah, Zulhijjah, dan Muharram, serta bulan Rejab Mudhar yang berada di antara Jumada (al-Akhir) dan juga Sya’ban.” (HR Bukhari).

Sekiranya Allah SWT telah memilih bulan – bulan ini sebagai Bulan yang Haram, maka kita sebagai umat Islam dikehendaki taat akan perintahNya. Janganlah sesekali kita mencampakkan diri kita ke lembah kemaksiatan. Bukanlah maksud artikel di bulan – bulan lain kitab oleh melakukan maksiat dan dosa, sebagai umat Islam kita dikehendaki meninggalkan maksiat secara keseluruhan. Cuma bagi empat bulan yang dipilih Allah SWT ini merupakan bulan yang diberkati. Seperti kata pendapat Ibnu Abbas R.A yang menyebut:

“Allah SWT telah mengkhususkan empat bulan dan menjadikan mereka sebagai bulan-bulan haram dan membesarkan kehormatan mereka. Dia juga menjadikan dosa-dosa padanya itu lebih berat serta menjadikan amalan soleh dan ganjaran pahala (di dalamnya) juga lebih besar (berbanding bulan-bulan lain).” (Rujuk Latha’if al-Ma’arif, Ibn Rajab Al-Hanbali (Halaman 115)).

Sementara firman Allah SWT dalam surah At – Taubah, ayat 36 bermaksud:

“Maka janganlah kalian menganiaya diri kalian dalam bulan (haram) yang empat itu.”

Bulan Haram adalah bulan di mana Allah SWT akan menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut. Melakukan dosa dalam bulan – bulan Haram adalah lebih besar dosanya berbanding bulan – bulan biasa kerana ia dilakukan dalam waktu yang dimuliakan oleh Allah SWT. Manakala amalan baik seperti puasa sunat, sedekah, zikir dan solat sunat akan diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda dalam bulan – bulan ini. Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita dan meletakkannya dalam neraca kebaikan kita di akhirat kelak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments