SAMBUTAN HARI GURU 2025 MULIAKAN PENDIDIK SEBAGAIMANA MEMULIAKAN IBU BAPA


Mutakhir ini, ramai sekali di kalangan generasi muda hilang rasa hormat kepada golongan yang mendidik mereka, iaitu para guru. Guru ini ibarat pengganti kepada ibu bapa mereka semasa di sekolah, guru jugalah yang menjadi pengganti ibu bapa mereka dalam melindungi dan menjaga mereka dari bahaya yang menimpa. Akan tetapi, situasinya amat berbeza sekali. Ada guru yang dimaki hamun, dipukul dan dianiaya hanya kerana teguran mereka untuk ke arah kebaikan. 

Tidak cukup dengan itu, keterlibatan keluarga dalam mencampuri urusan sekolah sehingga timbulnya isu saman – menyaman dan serangan ke atas guru juga menunjukkan betapa sedihnya zaman hari ini apabila hilangnya rasa hormat dan adab kepada warga pendidik. Tahukah kita bahawa Rasulullah SAW sangat memuliakan golongan yang bergelar pendidik? Sabda Rasulullah SAW:

“Bukanlah dari kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil, dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami.” (HR Ahmad).

Perhatikan bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat agar saling menghormati di antara orang tua dan muda bahkan wajib memberikan penghormatan pada guru. Menjadi guru bukanlah semudah yang disangka. Orang yang menunjukkan suatu kebaikan kepada seseorang seperti mengajarkan ilmu, maka dia juga akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang dia ajarkan. Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.” (HR Muslim).

Oleh kerana itu, terdapat larangan dalam mempersendakan guru. Guru adalah simbol kepada ilmu pengetahuan, dan menghormati guru bermakna menghargai ilmu. Sikap hormat ini merupakan perantaraan untuk mendapatkan keberkatan ilmu melalui apa yang dipelajari. Sesungguhnya guru adalah insan yang memainkan peranan pening dalm membentuk masyarakat yang bertamadun dan berilmu. Allah SWT berfirman:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (QS Al – Mujadilah: 11).

Sesungguhnya Islam juga melarang umatnya memperlekeh dan mempersendakan guru bahkan ramai dalam kalangan ilmuan islam telah menukilkan betapa pentingnya menjaga adab dengan guru. Kedudukan guru itu sama seperti kedudukan ibu bapa, yang menjaga dan mendidik kita hingga berjaya. Bahkan peranan guru itu lebih besar daripada ibu bapa. Kata Imam Ghazali:

“Sesungguhnya ibubapa adalah sebab kewujudan seorang anak dimuka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru adalah sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya.” (Al -Ghazali, Ihya Ulum Al-Din).

Memang benar guru itu tidak maksum dan ada yang melakukan kesilapan. Tetapi tidak bermakna kita boleh menghina mereka dengan sesuka hati kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa insan yang bernama guru ini perlu dihormati dan disanjungi tanpa mengira sekecil mana ilmu yang telah diajarkannya kepada kita. Malah, mereka mempunyai hak untuk dihargai dan diletakkan di tempat yang selayaknya. Muliakanlah mereka sebagaimana kita memuliakan ibu bapa kita.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments