Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M (MTHQK) kali yang ke-67 berlangsung di Perlis selama enam hari bermula pada 27 April hingga 2 Mei lalu telah menyuntik semangat rohani setiap golongan umat Islam untuk menyelami dan menghayati setiap bacaan dan juga kalimah suci di dalam kitab tersebut. Ramai di antara kita sudah mengetahui bahawa al – Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.
Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam Allah SWT itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan. Firman Allah SWT:
“Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).” (QS Al – Jathiyah: 20).
Al – Quran mempunyai begitu banyak keitimewaan berbanding kitab – kitab lain. Allah SWT berfirman:
“Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi Allah Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (QS Hud: 1).
Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang begitu banyak kepada golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin harian mereka. Di dalam al – Quran juga mengandungi pelbagai mesej dan nilai-nilai RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang dapat dihayati oleh umat Islam. Pemahaman terhadap nilai-nilai dan mesej RAHMAH itu akan dapat menjadi panduan dan pengajaran dalam usaha kita menterjemahkan Islam sebagai agama rahmah dalam kehidupan.
Walaupun berdepan cabaran untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan masyarakat kepada al-Quran, namun usaha menganjurkan pelbagai inisiatif bagi memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran perlu diteruskan dan dipergiatkan dalam kalangan masyarakat Islam bermula daripada keluarga kita sendiri. Hal ini kerana Allah SWT sudah menjanjikan barangsiapa yang beramal dengan al – Quran akan dikurniakan ganjaran dengan 10 pahala. Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipat gandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR At – Tirmidzi).
Jadi, marilah kita suburkan kembali jiwa kita dengann kembali menjadikan al – Quran sebagai panduan hidup kita. Sungguh, ia merupakan suatu kebahagian dan merupakan nikmat yang besar. Kita mempunyai al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita. Jika mendengar muzik klasik boleh mempengaruhi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) seseorang, bacaan al-Quran jauh lebih dari itu. Selain mempengaruhi IQ dan EQ, bacaan al-Quran mempengaruhi kecerdasan spiritual (SQ). Firman Allah SWT:
“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al – A’raf: 204).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment