Ajaran Islam berteraskan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) telah menjadi pegangan umat Islam di Malaysia sejak sebelum kemerdekaan. Oleh itu, ASWJ merupakan aliran pertama yang menjadi pegangan penduduk Nusantara termasuk umat Islam di Malaysia sejak zaman berzaman. Ini bermakna umat Islam ASWJ yang berpegang dengan Mazhab Syafie tidak mengenali aliran selainnya seperti aliran Syiah.
Namun, Revolusi Iran pimpinan Khomeini yang tercetus pada tahun 1979 menjadi titik mula yang mempengaruhi masyarakat Islam di Malaysia pada peringkat awal kemasukannya. Isu penubuhan negara Islam yang ideal dan keadilan sosial yang diperjuangkan Khomeini telah mengelabui mata sebahagian umat Islam di negara ini daripada melihat latar belakang agama sebenar yang menjadi anutan Khomeini dan Iran.
Hal ini telah menjadi faktor utama penyebaran ajaran Syiah dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia sehingga perkembangan pengaruhnya telah memberi implikasi yang buruk terhadap kesucian ajaran ASWJ sama ada dari segi akidah, syariah dan akhlak umat Islam.
Justeru itu, Syiah telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan bukanlah sebahagian daripada aliran mazhab dalam Islam. Umat Islam usah ragu mahupun keliru kerana hanya 4 mazhab utama yang diiktiraf Islam iaitu Mazhab Syafie, Mazhab Hanafi, Mazhab Hambali dan Mazhab Maliki. Selainnya adalah rekaan semata-mata untuk mengelirukan umat Islam sebagaimana Syiah. Maka, umat Islam berhati-hatilah, jangan mudah terpedaya demi keseronokan dunia.
Sumber: Kertas Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan – Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Comments
Post a Comment