TUNAIKAN HAJI SECARA HARAM MELANGGAR KONSEP ISTITO’AH (KEMAMPUAN TUNAIKAN HAJI) JANGAN JADI SEORANG YANG MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI!
Mengerjakan haji merupakan Rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan sekali dalam seumur hidup oleh setiap Muslim yang mukallaf. Pada asasnya, semua ulama bersepakat mengenai kefardhuan dan kewajipan menunaikan ibadah haji berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Hal ini jelas seperti mana firman Allah SWT:
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (QS Ali ‘Imran: 97).
Namun, hari ini ramai di antara umat Islam dari seluruh dunia mula melakukan ibadah haji secara DIY (do it yourself) dan ini termasuklah rakyat Malaysia. Ada yang berjalan kaki dan ada menaiki kenderaan peribadi seperti basikal atau motosikal. Ianya jelas melanggar perundangan dan membelakangkan aspek keselamatan ditetapkan pemerintah. Ini kerana kita mempunyai Lembaga Tabung Haji (TH) yang menguruskan keperluan haji secara sistemastik bermula dari visa hinggalah ke penginapan yang dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Walaupun dari segi hukum fiqah, terdapat ulama menyatakan ibadah haji secara haram tersebut adalah sah tetapi dalam masa sama ia turut berdosa jika dilakukan. Isu ini timbul susulan ada segelintir pihak yang sukar dimengertikan tentang konsep kemampuan tunai haji (istito’ah) kerana keinginan mendalam untuk memenuhi tuntutan agama hingga sanggup membelakangkan arahan pemerintah setempat dan perundangan Arab Saudi dengan mengerjakan haji tanpa visa yang sah dan tiada permit haji.
Seperti ayat al – Quran di atas terangkan, kemampuan menjadi persyaratan dalam mengerjakan ibadah haji dan ia merangkumi kemampuan kehartaan atau kewangan, kemampuan fizikal atau kesihatan dan kemampuan keamanan. Dalam konteks ini, kemampuan juga melibatkan giliran ditetapkan TH. Sistem kuota dan penggiliran mengerjakan haji bukan bertujuan menghalang umat Islam menyempurnakan kewajipan agama tetapi ia bagi memastikan perjalanan haji lebih teratur, terkawal, selesa dan paling penting adalah keselamatan nyawa para jemaah.
Dalam erti kata lain, ia termasuk dalam asas keamanan dalam mengerjakan ibadat haji. Jika ditelusuri dalam sejarah ibadah haji, terdapat beberapa siri tragedi yang mengorbankan nyawa jemaah kerana jumlah mereka terlalu ramai di mana kebanyakannya akibat kepadatan, rempuhan dan kepanikan. Tindakan jemaah membelakangkan konsep istito’ah adalah tidak tepat kerana ia boleh mendatangkan risiko besar di kemudian hari sama ada kepada individu terlibat atau mampu memburukkan citra pengurusan haji dan umrah negara.
Kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia adalah sangat bernilai kerana manfaatnya boleh dinikmati ramai pihak. Jadi, beribadahlah dengan sempurna dan patuhilah arahan kerajaan Malaysia dan perundangan Arab Saudi bagi memastikan ibadah dilakukan diterima kerana kemuncak didambakan para jemaah haji adalah mencapai haji mabrur. Jangan jadi orang yang mementingkan diri sendiri. Jangan biarkan haji sekadar sah tetapi berdosa, sebaliknya kejarlah haji yang sah dan berpahal. Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri." (HR Bukhari).
Sumber: Maktabah Al - Bakri
Comments
Post a Comment