Baru – baru ini satu video dimuatnaik di laman platform Tiktok memperlihatkan lebih 200 individu hadir ke pusat derma darah di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk menderma darah bagi membantu pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat daripada nahas bas di Gerik, Perak. Dalam video tersebut diperlihatkan bagaimana ruangan pusat menderma darah itu dipenuhi dengan orang awam yang mahu mendermakan darah mereka bagi memudahkan semua urusan mangsa terlibat.
Persoalannya, apakah hukum sekiranya kita menderma darah? Mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang telah bersidang pada 13 – 14 April 1982 memutuskan bahawa hukum menderma darah adalah HARUS. Selain itu Muzakarah juga memutuskan:
i. Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.
ii. Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak digalakkan.
Hal ini kerana Islam menggalakkan kita saling membantu, tanpa mengira agama dan bangsa. Setitis darah yang kita dermakan mampu menyelamatkan nyawa insan lain. Ini juga selaras dengan firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa..” (QS Al – Maidah: 2).
Menurut Syeikh al-Maraghi, manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan itu sama ada antara individu atau pun masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau kehidupan akhirat. Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di Hari Kiamat.” (HR Muslim).
Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, menderma darah adalah salah satu bentuk sedekah yang paling utama pada masa kini. Hal ini kerana penderma darah dalam konteks ini bukan sekadar membantu, malah sudah sampai tahap menyelamatkan nyawa seseorang. Jadi nilainya sangat tinggi di sisi Allah SWT. Bahkan menyelamatkan nyawa manusia yang sekiranya tidak ditolong akan mati, namun dengan berkat menderma darah ini membolehkan terus berlangsungnya kehidupan seseorang, dan ia digambarkan seperti memberikan kehidupan kepada semua manusia. Allah SWT berfirman:
“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (QS Al – Maidah: 32).
Lalu, bagaimana hukumnya memberi hadiah kepada si penderma darah? Ada dua pandangan ulama berkenaan hukum jual beli darah:
1) Tidak dibenarkan jual beli darah. Ini merupakan pandangan jumhur para ulama. Mereka mengatakan bahawa tidak boleh berjual beli darah dengan berlandaskan dan berasaskan dalil daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Mereka berhujahkan firman Allah SWT:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor…” (QS Al – An’am: 145).
2) Harus jual beli darah. Pandangan ini dikemukakan berdasarkan maslahat dan darurat yang berlaku. Ini berdasarkan ayat:
“Padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.” (QS Al – An’am: 119).
Pandangan ini berdasarkan kepada kaedah yang masyhur iaitu الضَرُورَا تُبِيحُ المَحْظُورَات yang bermaksud keadaan darurat (terpaksa) mengharuskan perkara yang haram. Mereka mengatakan dalam keadaan yang sangat memerlukan darah tambahan bagi tujuan perubatan dan juga kekurangan bekalan darah maka harus untuk menukarkan darah yang diberi dengan harga tertentu. Perkara ini juga dikatakan bahawa illah di sebalik larangan berjual beli darah oleh para fuqaha adalah disebabkan tiada manfaat padanya. Maka, mafhum mukhalafahnya jika ada manfaat maka ianya dibenarkan.
Namun begitu, pendapat jumhur ulama wajib diutamakan iaitu tetap tidak boleh untuk berjual beli darah kerana dalil dan pandangan yang dikemukakan oleh jumhur lebih kuat dan jelas. Walau bagaimanapun, pendapat untuk memberi ganjaran atau saguhati kepada penderma darah adalah HARUS. Ini sebagai galakan dan penghargaan di atas kesudian mereka meluangkan masa dan kesudian menderma darah mereka untuk membantu pesakit-pesakit yang sangat memerlukan darah dan ganjaran yang diberikan itu sebaiknya tidak berbentuk bayaran wang. Ini ditakuti termasuk dalam larangan berjual beli darah.
Dengan penerangan ini, diharapkan ia jelas dan memberi lebih banyak kefahaman kepada umat Islam lain untuk lebih proaktif dalam membantu menambahkan bekalan darah yang ada bagi membantu mereka yang memerlukan. Jadikan ini sebagai amal jariah yang akan menjadi bekalan kita di hari akhirat nanti.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment