Pernah atau tidak kita bertanya kepada diri kita, adakah Allah SWT redha ke atas diri kita? Kita melakukan semua suruhan Allah SWT, solat, berpuasa, melakukan amal jariah, beramal soleh dan banyak lagi amalan baik. Kita diajarkan untuk redha dengan ketentetuan Allah SWT, tetapi adakah Allah SWT redha terhadap diri kita?
Dalam kehidupan ini, kita harus mempunyai matlamat untuk mencari keredhaan Allah SWT. Untuk mencapai redha Allah SWT, kita perlu menuruti segala yang telah Allah SWT perintahkan ke atas kita. Tinggalkan segala laranganNya dan elakkan melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT.
Apabila kita sudah berusaha untuk memenuhi segala kehendak Allah, bagaiamana pula untuk tahu bahawa Allah SWT redha kepada kita? Antara tanda-tanda Allah SWT redha dengan kita:
1) Allah SWT akan akan permudahkan urusan kita untuk melakukan kebaikan.
2) Kita akan berasa mudah dan ringan untuk melakukan kebaikan.
3) Apabila membuat dosa, kita akan terasa pahit dan menyesakkan jiwa.
4) Terasa ingin cepat bertaubat apabila melakukan dosa.
5) Sentiasa merasai kebaikan Allah SWT di mana-mana sahaja.
6) Hidup kita akan rasa diberkati.
Allah SWT berfirman:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (QS At – Taubah: 72).
Maksud ayat di atas “Dan keredaan Allah lebih besar. Itu adalah kemenangan yang agung”, ia membawa maksud keredhaan Allah SWT terhadap orang yang beriman sangat besar, agung dan lebih berharga dari kenikmatan yang mereka miliki di syurga. Tidakkah kita mahukan perkara itu? Sesiapa yang memperoleh keredaan Allah SWT bermakna kehidupannya di dunia ini, akan dipermudahkan dari segala kesulitan mahupun musibah. Manakan tidak, jika dalam hati dan jiwa sudah tertanam dan dipenuhi dengan sifat redha, sudah semestinya dia akan menerima apa sahaja ujian yang Allah SWT berikan dengan berlapang dada, dan mempercayai setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya yang tersembunyi.
Justeru sesiapa yang diredhai Allah SWT pastinya akan diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia mahupun akhirat. Lalu mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, dan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya. Firman Allah SWT:
"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!” (QS Al – Fajr: 27 – 30).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment