AWAS DENGAN GOLONGAN LIBERAL SESAT!!! MENGAITKAN IDEOLOGINYA DENGAN ISLAM BAGI MENGHALALKAN MATLAMAT MEREKA

 


Kebebasan bersuara bukanlah bermakna ianya diberikan secara mutlak untuk bebas mengatakan apa-apa sahaja tanpa batasan, sebaliknya wujud sempadan moral, agama, undang-undang dan adat tatasusila supaya tidak merosakkan manusia serta meruntuhkan peradaban. Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan terhadap bahaya pemikiran liberalisme yang memberi kebebasan kepada manusia melakukan apa sahaja tanpa sekatan agama dan nilai murni.

Golongan liberal yang beragama Islam terbahagi kepada dua kategori, iaitu kelompok keliru kerana jahil dan keliru pada tahap teruk disebabkan keras kepala. Kelompok pertama mudah ditangani apabila mereka masih boleh diberitahu dan dididik. Kita hanya perlu mengambil pendekatan menegur dan mendidik dengan lembut kerana mereka masih boleh diubah melalui didikan.

Namun, kategori kedua pula agak susah kerana tidak akan mendengar apa pun hujah dikemukakan dan tidak menghormati autoriti, sebaliknya hanya mahu mendengar apa yang ingin didengar. Mereka bukan hanya keliru tetapi berusaha keras mengelirukan orang lain. Oleh itu, tiada jalan lain kecuali mengambil tindakan tegas melalui penguatkuasaan undang-undang.

Contohnya, individu-individu Sister in Islam (SIS) Forumyang berani dan lantang mencabar fatwa sesat yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. SIS Forum yang menjenamakan pertubuhannya dengan Islam sudah tentu mendapat perhatian daripada umat Islam di Malaysia atas segala tindakan, aktiviti atau pandangan yang dikeluarkan oleh mereka. Jangkaannya, SIS Forumseharusnya selari dengan ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, sebaliknya mereka pula yang menentang hukum-hukum syarak dan mempertikaikan perkara-perkara akidah kerana berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme. Hal ini jelas menunnjukkan mereka telah terkeluar landasan daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.  

Perlembagaan meletakkan Islam di bawah kuasa raja-raja, maka fatwa negeri serta persekutuan dikeluarkan mufti mengikat hingga kerajaan boleh menggunakan fatwanya sebagai dasar polisi. Walaubagaimanapun, pada masa yang sama, usaha penerangan berterusan kerajaan, badan berkanun dan majlis agama Islam negeri mesti dilakukan dengan lebih baik kerana cabaran liberalisme semakin hebat. Apa jua cubaan menyebarkan fahaman liberalisme perlu diberi perhatian serius, tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dibiarkan. Jika dibiarkan, akan muncul lagi ramai yang bertindak lebih berani, sekali gus jelas menimbulkan keresahan awam dan ketidakharmonian masyarakat. 

Islam liberal itu pada namanya juga sudah salah, apatah lagi ideologinya yang memperjuangkan ideologi karut lagi menyesatkan. Malah sebenarnya mereka hanya menggunakan nama Islam bagi menghalalkan matlamat mereka. 

Sumber: Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban, Universiti Teknologi Malaysia


Comments