AWAS!!! LIBERALISME NORMALISASI YANG MENYESATKAN AKIDAH

 


Dalam keadaan sedar mahupun tidak, umat Islam hari ini khususnya di Malaysia sedang berhadapan dengan ancaman daripada penularan idea liberal yang semakin merebak meresapi pemikiran. Kelompok yang mendukung fahaman liberal juga semakin mendapat tempat dalam dunia Islam. 

Pada masa yang sama juga, terdapat segelintir pihak yang tidak menyedari bahawa mereka turut sama membawa dan menyuburkan lagi idea liberal tanpa melihat fahaman liberal tersebut sebenarnya adalah sebagai suatu bentuk ancaman yang mengundang malapetaka bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada seluruh manusia disebabkan oleh ideologinya yang berasaskan akal semata-mata telah terserap dalam segenap aturan kehidupan.

Sebagai contoh, 'jiran' Malaysia iaitu Singapura telah diisytiharkan sebagai negara Asia yang mengiktiraf hak LGBT selain Thailand, India dan Taiwan. Walaupun kita sedia maklum bahawa Singapura bukan sebuah negara Islam dan sepatutnya tidak perlu diambil endah dengan tindakannya, namun sebaliknya Malaysia yang juga sebagai sebuah negara Asia perlu memandang serius hal ini kerana secara jelasnya ia melanggar fitrah kejadian manusia. 

Atas faktor hubungan diplomatik dan geografi Malaysia dan Singapura adalah dikhuatiri jika tidak dibendung penularan ideologi liberalisme tersebut akan berkembang dengan lebih cepat lagi. Kesannya, pengaruh liberalisme yang berasaskan akal semata-mata tanpa mendahului garis pandu agama akan menjadi asas utama dalam pembuatan keputusan bagi setiap sistem sama ada pentadbiran negara mahupun sistem sosial dan agama, yang akhirnya akan merosakkan seluruh kehidupan beragama dalam masyarakat.

Ideologi liberal dilihat bergerak begitu pantas sehingga berjaya merentasi segenap lapisan masyarakat.  Bahkan sebahagian besar idea-idea liberal telah pun diterima oleh masyarakat sebagai norma kemanusiaan. Manakala sebahagian yang lain pula cuba diselitkan agar dapat diterima sebagai nilai-nilai sejagat yang mencorakkan aturan kehidupan. Justeru itu, apa terjadi pada akidah umat Islam? tepuk dada, tanya iman!

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre_JUN 2025 dan Astro Awani


Comments