Melihat kepada perkembangan ajaran sesat yang semakin bercambah, timbul satu persoalan setakat manakah ajaran sesat boleh memberi kesan kepada keislaman dan keimanan seseorang pengikut dan pengasas ajaran tersebut selain ia memberi ancaman yang cukup besar kepada masyarakat dan negara dari aspek keharmonian masyarakat dan keamanan negara?
Secara dasarnya, bolehlah dirumuskan bahawa ajaran sesat ini adalah merujuk kepada penyelewengan di dalam akidah dan syariah dan terbahagikan kepada tiga bentuk:
i. Penyelewengan dalam bentuk ajaran baru
Sesuatu amalan yang diperkenalkan yang sama sekali tidak pernah dibawa oleh Rasulullah SAW dan bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Hadis.
Ajaran bentuk ini biasanya lahir melalui ajaran-ajaran yang direka atau dicipta oleh guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan pelbagai nama seperti ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin pada tahun 1995 di Selangor, Ajaran Ayah Pin, Ajaran Kumpulan Wahyu Allah, Ajaran Tuhan Haron dan lain-lain.
ii. Penyelewengan dalam bentuk tarekat (cara mendekatkan diri kepada Allah) sehingga tidak lagi terikat kepada syariat Islam dan menganggap guru sebagai suci dan menyucikan dosa.
Biasanya menggunakan nama-nama tarekat yang termasyhur melalui guru-gurunya. Ajaran bentuk tarekat ini menggunakan bentuk amalan yang berbeza dengan yang ajaran tarekat asal yang masih diakui sebagai ajaran Islam di mana ianya telah diubahsuai mengikut pemikiran gurunya. Contohnya mereka beriktikad (yakin) bahawa sesiapa yang sudah sampai kepada peringkat tertentu dalam amalan atau tarekat yang mereka ikuti, maka dia tidak lagi bergantung kepada syariat seperti tidak perlu lagi solat, puasa, jihad dan sebagainya.
iii. Penyelewengan dalam bentuk amalan tradisi yang membawa kepada kesyirikan.
Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap wali, kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang dan bomoh dalam rawatan tradisional, pemujaan kubur atau pembawa ilmu tertentu. Contohnya, mencampur-adukkan akidah Islam dengan akidah Majusi, Nasrani yang melahirlah ajaran berbentuk ‘batiniah’ seperti roh perawat bagi membantu pesakit atau menyelesaikan masalah mereka. Semua amalan yang dilakukan adalah amalan-amalan syirik yang boleh mengeluarkan seseorang daripada Islam.
Dalam keadaan tertentu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap golongan yang berdegil dan masih mengamalkan akidah Islam yang menyeleweng. Oleh sebab itu, pentingnya para pendakwah untuk mendapatkan pentauliahan daripada pejabat agama Islam negeri supaya ilmu yang disampaikan itu adalah diiktiraf dan selari dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, selain memberi keyakinan dan jaminan kepada masyarakat awam berkenaan ilmu yang disampaikan.
Tidak dapat dinafikan bahawa pengamal–pengamal ajaran sesat boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman jika disabitkan kesalahannya. Apa yang lebih penting ialah di dalam undang-undang berkaitan dengan ajaran sesat, bagaimana ia boleh digunakan bagi memberi peluang kepada mereka yang telah tersesat kembali ke pangkal jalan? Ia bukan mengutamakan hukuman kepada pesalah semata-mata, tetapi yang lebih mustahak untuk mengembalikan mereka ke pangkal jalan menuju jalan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Jurnal Usuluddin, Bil 26 (2007), Universiti Malaya.
Comments
Post a Comment